
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Wilayah Persekutuan Labuan akan menerima Peruntukan Mengurus (OE) sebanyak RM50 juta pada tahun 2025.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata peruntukkan kewangan untuk Labuan kekal sama seperti jumlah kewangan yang diperuntukan pada tahun ini.

Warga Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) bergambar kenangan bersama Lim Hui Ying.
“Selain itu, terdapat tujuh projek yang melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan melibatkan peruntukan sebanyak RM32.9 juta akan diteruskan untuk tahun 2025 antaranya projek menaik taraf jambatan Patau-Patau Satu dan pembinaan Cell Sanitary Landfill dan juga naik taraf Leachate Treatment Plan,” katanya semasa ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Karnival Kewangan MADANI Peringkat Labuan, di sini pagi tadi.
Mengulas mengenai Karnival Kewangan MADANI, beliau berkata ianya merupakan program yang dapat menawarkan perkhidmatan terus kepada penduduk di Labuan melalui penyertaan daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan khususnya.
“Kita berharap penduduk Labuan mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang ditawarkan seperti perkhidmatan kaunter perbankan oleh Bank Simpanan Nasional, kaunter-kaunter yang menawarkan khidmat nasihat dan perkhidmatan terus oleh jabatan kerajaan seperti kaunter Wang Tak Dituntut oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kaunter Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta kaunter pendaftaran syarikat oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah.

Salah satu kaunter daripada 15 agensi terlibat menawarkan perkhidmatan terus kepada penduduk Labuan.
“Karnival ini juga menganjurkan taklimat literasi kewangan yang akan disampaikan oleh wakil yang merupakan pakar daripada institusi, syarikat serta agensi dan jabatan kerajaan sepanjang dua hari berlangsungnya program ini,” katanya.
-ZS-