Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Dari Kekurangan ke Kejayaan: Inspirasi Amirul kepada Golongan OKU

By 24 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/Dexter Cysonned (Sabah)

KOTA KINABALU, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Dalam kehidupan, kejayaan sering kali dianggap hanya milik mereka yang sempurna, tetapi kisah Muhd Amirul Asyraf, seorang peguam muda orang kelainan upaya (OKU), membuktikan sebaliknya.

Selepas setahun menjalani latihan kamar di Lahad Datu, pesakit Cerebal Palsy berusia 32 tahun itu melalui perjalanan penuh cabaran untuk mencapai impiannya sebagai seorang peguam dengan sokongan padu ahli keluarga.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Siber, Geraldine Voo menyampaikan sijil penghargaan kepada Amirul disaksikan Sunday.

Lebih mesra dipanggil Amirul, perjalanan menjadi seorang peguam katanya bukanlah sesuatu yang mudah dan beliau tidak pernah menganggap kekurangan dirinya sebagai penghalang untuk graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berjaya.

“Keluarga saya memainkan peranan yang sangat besar dalam kejayaan saya. Tanpa mereka, impian saya untuk menjadi seorang peguam muda mungkin tidak akan tercapai.

“Sepanjang tempoh latihan pula, sokongan daripada majikan dan rakan sekerja amat penting. Majikan saya bukan sahaja memperkenalkan saya kepada pelanggan dan rakan sekerja, tetapi juga menjelaskan tentang keistimewaan saya sebagai seorang individu OKU yang mampu bekerja secara efektif. Alhamdulillah, katanya ketika ditemui di program iNSPO@JAPEN anjuran Jabatan Penerangan Sabah, di sini Jumaat lalu.

Sementara itu, sebagai tulang belakang membesarkan Amirul, ibunya Halipah Bachok, 57, berkata membesarkan anak istimewa itu sehingga bekerjaya mempunyai cabaran tersendiri.

Apa yang paling penting ujarnya, adalah sebagai ibu bapa mestilah bersyukur dengan ketentuan Allah dan hanya perlu yakin dan terus berusaha.

Amirul bersama ibu bapa (kanan) dan Kamaruddin (kiri) di Pendengaran Petisyen untuk Penerimaan ke Badan Peguam Sabah.

“Kelmarin adalah hari yang sangat bermakna, bukan sahaja bagi Amirul, tetapi juga bagi kami sekeluarga.

“Ini adalah bukti kekuasaan Allah dan pentingnya usaha serta doa,” ujar ibunya penuh rasa syukur.

Tarikh 21 November 2024 menjadi detik bersejarah buat Amirul apabila beliau ditauliahkan sebagai peguam bersama beberapa barisan peguam muda yang lain di Mahkamah Tinggi Sabah.

Pencapaian ini bukan sahaja bermakna buat dirinya, tetapi juga membawa mesej besar kepada masyarakat bahawa golongan OKU mampu berjaya jika diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda