
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
AMPANG, 28 Nov (Malaysiaaktif) – Pengunjung bertuah program ‘Perkampungan Tauheed’ dari 6 hingga 8 Disember ini di Masjid Al-Alami, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh berpeluang memenangi pakej umrah.
Penganjurnya, Pertubuhan Musaadah Jaringan Insan (PEMUDAH) berkolaborasi bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan beberapa pertubuhan lain menjayakan program berkenaan dengan pelbagai pengisian ilmu.
Pengerusi PEMUDAH, Hezla Hashim, berkata pihaknya bercadang untuk melaksanakan program berkenaan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Program Perkampungan Tauheed bakal berlangsung dari 6 hingga 8 Disember di Masjid Al-Alami MITC Ayer Keroh, Melaka.
“Melaka dipilih lokasi pertama sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 kemudian diikuti Pulau Pinang pada bulan Februari 2025, Perlis dan negeri-negeri seterusnya.
“Bagi mengakhiri TMM ini kita adakan satu program berbentuk keagamaan di Ayer Keroh,” katanya semasa sidang media di Masjid Ukay Perdana, di sini semalam.
Menurut Hezla, antara pengisian program seperti sembang syabab, ‘parenting’, malam selawat dan forum serta pertandingan untuk kanak-kanak dan sekolah di bawah kelolaan JAIM.
“Antara artis selebriti yang akan hadir seperti Iwan Syaman, Zul Handy Black, Faizal Ismail (FBI) termasuk pendakwah-pendakwah selebriti seperti Bro Firdaus Wong, Ustaz Lah dan Ustazah Huda Hidayu Hamdah.
“Program ini akan dirasmikan oleh EXCO Agama Melaka dan turut dihadiri Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Tan Sri Yusof Noor,” jelasnya.
Katanya, beliau berharap program berjalan lancar dan mendapat sokongan semua pihak.
-ZS-