
Laporan/foto: Siti Norbaizura Abdul Hamid/Hafiezuddin Md Ghazazi (Jelebu)
JELEBU, 28 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 200 orang daripada komuniti Kampung Orang Asli Parit Gong serta agensi-agensi kerajaan telah berganding bahu dalam satu acara gotong-royong bagi membersihkan kawasan kampung sebagai usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes yang menyebabkan demam denggi yang semakin menular.

Salah seorang peserta gotong-royong memeriksa tempat pembiakan nyamuk Aedes,
Menurut wakil Pegawai Kesihatan Daerah Jelebu Dr. Lina Farhana, statistik kes demam denggi di Malaysia dari Januari hingga Oktober tahun ini telah mencatatkan hampir 116,000 pesakit dan Negeri Sembilan menduduki tempat keempat dengan 7,000 kes termasuk 176 kes di daerah Jelebu.
“Program gotong-royong bukan hanya untuk mencabut pokok atau membersihkan tempat pembuangan sampah sahaja tetapi lebih fokus kepada mengenal pasti dan menghapuskan tempat-tempat yang menjadi kawasan pembiakan nyamuk Aedes iaitu tempat bertakungnya air yang menjadi tempat nyamuk bertelur serta membasmi jentik-jentik yang membawa ancaman kepada kesihatan awam,” katanya semalam.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Jelebu Noor Azmi Yusof yang hadir merasmikan program, berkata adalah menjadi harapan agar masyarakat dapat menjaga kebersihan bukan sahaja pada hari tersebut, tetapi sebagai satu amalan berterusan demi kebaikan bersama.

Serahan risalah demam denggi dan serbuk racun serangga kepada penduduk kampung.
Menurut seorang penduduk kampung Mini Abin, 40, ramai penduduk kampung kurang menyedari bahaya yang dibawa oleh nyamuk Aedes.
“Ia boleh menyebabkan penyakit berbahaya seperti demam denggi, malah boleh membawa maut,” katanya.
Mini Abin berharap agensi-agensi kerajaan dapat meningkatkan kesedaran dan memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami betapa pentingnya menjaga kebersihan dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk.
Program gotong-royong ini bukan sahaja menunjukkan kerjasama antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat, tetapi juga memperlihatkan kesungguhan dalam usaha memerangi wabak demam denggi yang semakin membimbangkan di daerah ini.
-ZS-