
Laporan/foto: Nur Shahrina Amran/Kartina Saruni (Tangkak)
TANGKAK, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 31 orang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Penghulu Long, Telok Rimba, Serom, di sini menerima sumbangan berupa barangan keperluan dan bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), semalam.

Sumbangan barangan keperluan daripada Kerajaan Negeri Johor untuk 31 orang mangsa banjir di Telok Rimba, Serom.
Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor Tan Sri Datuk Dr. Azmi Rohani, berkata Kerajaan Negeri sentiasa bersedia mengutamakan keperluan asas dan memberi bantuan kepada mangsa banjir dalam negeri ini bagi mengelakkan sebarang kejadian berisiko semasa banjir.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam menangani isu banjir di Johor dengan baik dan saya ingin mengingatkan segala kekurangan yang mungkin ada perlu ditangani segera dengan mencari penyelesaian terbaik untuk membantu mangsa banjir dari masa ke semasa.
“Mangsa-mangsa banjir di PPS juga perlu ambil peluang dengan kehadiran pasukan kesihatan yang bertugas untuk memastikan tahap kesihatan sentiasa terjamin dan bersabar dengan dugaan banjir kali ini,” katanya ketika sesi lawatan ke PPS tersebut.

Dr. Azmi Rohani mendengar taklimat situasi semasa banjir yang disampaikan oleh Siti Juraidah.
31 orang mangsa yang berpindah ke PPS tersebut merupakan penduduk setempat daripada tiga buah kampung iaitu Kampung Teluk Rimba, Kampung Parit Sialang dan Kampung Parit Dahlan yang terpaksa berpindah selepas kawasan rumah mereka dinaiki air pada pagi Isnin yang lalu.
Turut hadir Pegawai Daerah Tangkak Mohd Farid Kassim, Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak Nazid Jasiman, Ketua Polis Daerah Tangkak Supritenden Roslan Mohd Talib dan Jurutera Daerah Tangkak Siti Juraidah Md Kamsir.
-ZS-