
Laporan/foto: Muhaimin Musa / Muhammad Azrul Hafiz Mohamad Nazri (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 13 Dis (MalaysiaAktif) – Malaysia mencatatkan sejarah penting semalam dengan perasmian Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Inisiatif ini adalah satu langkah transformatif di bawah Kementerian Digital untuk memacu Malaysia ke hadapan sebagai peneraju dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital di rantau ASEAN.

YAB Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan perasmian
NAIO tidak hanya memperlihatkan komitmen negara untuk mengembangkan ekonomi berasaskan AI tetapi juga untuk memperkenalkan inovasi canggih, tadbir urus yang beretika dan pembangunan bakat digital masa depan.
Perdana Menteri menyatakan bahawa penubuhan NAIO adalah langkah penting dalam mewujudkan ekosistem digital yang kukuh di negara ini. NAIO berperanan dalam merancang, menyelidik, menyelaras dan melaksanakan usaha-usaha berkaitan dengan AI serta memacu Malaysia ke arah inovasi daya cipta yang lebih tinggi. Beliau turut menekankan pentingnya perubahan paradigma dalam penggunaan teknologi AI termasuk kelestarian, integriti dan pengagihan kekayaan yang saksama.

Antara robot yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI)
Perdana Menteri turut menyeru agar anak-anak tempatan diberi peluang untuk membina perisian AI agar apa yang dihasilkan adalah berdasarkan data yang dimasukkan oleh rakyat Malaysia sendiri, bukan hanya oleh pandangan atau sistem luar negara.
Justeru itu, NAIO telah diluluskan oleh Kabinet Malaysia pada 28 Ogos 2024 dan diletakkan di bawah seliaan MyDIGITAL Corporation pada 5 September 2024 dengan fokus utama menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang AI serta pemacu transformasi digital global.
Selain itu, NAIO juga bertujuan untuk menggalakkan inovasi dan memperkukuh kerjasama antara sektor kerajaan, industri dan masyarakat sambil mempromosikan pembangunan mampan.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, transformasi yang dibawa oleh AI adalah penting untuk menjangkau setiap sektor dan lapisan masyarakat dari golongan muda hingga warga emas. Beliau menegaskan bahawa AI harus dimanfaatkan untuk manfaat semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
Sebagai contoh, AI boleh membantu nelayan menentukan lokasi memancing terbaik, petani mengoptimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan hasil ladang serta membolehkan pihak berkuasa tempatan mengurus bencana alam secara lebih proaktif. NAIO komited untuk memastikan teknologi ini memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.
Kini, lebih daripada sebelumnya, Malaysia bersedia untuk membina Negara AI yang berdaya saing di pentas dunia.
-AA-