
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
KUANG, 18 Dis (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita dan mengeluarkan notis tutup terhadap sebuah premis di Kawasan Perindustrian Sonstar, di sini kerana beroperasi serta menjalankan aktiviti berbeza dengan lesen yang diluluskan.
Timbalan Yang Dipertua MPS Adi Faizal Ahmad Tarmizi, berkata operasi bersepadu pukul 11.00 pagi bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melibatkan 30 anggota penguat kuasa di kawasan yang menempatkan 12 premis perniagaan itu.

Kelihatan Adi Faizal sedang memeriksa bahan plastik yang diletakkan di luar sebuah premis ketika meninjau operasi bersepadu MPS hari ini.
Menurutnya, sebanyak empat kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan halangan, tiada lesen dan pelepasan influen iaitu bancuhan simen yang dilepaskan tanpa kawalan.
“Tindakan hari ini merupakan satu kejayaan bagi MPS hasil kerjasama semua pihak yang membuat laporan termasuk pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan LUAS.
“Kami mengambil serius terhadap semua aktiviti di kawasan MPS supaya tidak berlaku lagi kes-kes pencemaran air dan sungai yang memberi kesan kepada penduduk,” katanya semasa ditemui selepas meninjau operasi hari ini.

Seorang Pegawai Jabatan Pelesenan MPS sedang menulis notis penutupan sebuah premis kerana melanggar syarat lesen yang ditetapkan.
Kata Adi Faizal, pihaknya akan terus melaksanakan aktiviti pemantauan dan penguat kuasaan untuk memastikan semua perniagaan atau perusahaan terutama melibatkan sisa-sisa buangan mendapat kelulusan pihak berwajib.
Di Kawasan Perindustrian Sonstar terdapat 12 buah premis yang menjalankan perusahaan seperti kilang plastik, stor menyimpan dan memproses acrylic serta menyimpan barang-barang pembuatan dan keluli.
-ZS-