Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerak

[VIDEO] Melonmas Kuala Kangsar Dieksport ke Singapura

By 7 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh: Pradeeb Kumar Velayutham (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 7 Jun (Malaysiaaktif) – Kuala Kangsar bukan sahaja terkenal sebagai satu destinasi pelancongan, namun bandar penuh bersejarah ini juga sedang giat membangunkan aktiviti pertanian secara komersial.

Daerah Kuala Kangsar ini dipenuhi dengan tanaman tradisional secara kecil-kecilan. Namun begitu, tanaman ini memberi impak yang besar kepada penduduk setempat.

Pulangan dan permintaan yang tinggi mendorong para pengusaha serta petani sekitar Kuala Kangsar giat mengusahakan tanaman Limau Bali dan Limau Melonmas. Malah, tanaman ini ditanam secara komersial di sekitar Kuala Kangsar.

Menurut Pegawai Pertanian Daerah Kuala Kangsar, Hasnul Abdul Hakim Hasnulhadi, tanaman Limau Bali dan Limau Melonmas meliputi 60 hektar kawasan Kuala Kangsar yang bermula dari Sungai Siput hingga ke Padang Rengas.

“Kawasan itu juga dikenali sebagai Zon Melonmas. Kebanyakannya, Melonmas yang ada di Kuala Kangsar ini dieksport ke Singapura dan mendapat pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP),” ujarnya ketika ditemui di Pasar Tani Kuala Kangsar, pada Sabtu.

 

Selain itu, tanaman padi pula merupakan tanaman kedua terbesar di Kuala Kangsar yang memberi pulangan besar kepada pengusahanya.

“Tanaman padi antara program Jabatan Pertanian untuk memberi khidmat nasihat kepada pengusaha-pengusaha padi kita untuk mencapai satu peningkatan hasil sehingga sepuluh metrik tan. Itu adalah sasaran kita.

“Pada ketika ini, “Self-Sufficient Level” (SSL) hanya 70%. Jadi, itu ialah cabaran buat kami untuk memberikan khidmat dengan terbaik kepada petani-petani dan usahawan padi untuk meningkatkan hasil sehingga 10 metrik tan,” jelas Hasnul.

Selain tanaman Limau Bali, Melonmas dan padi, Kuala Kangsar turut menjadi tempat penanaman jagung serta sayur-sayuran yang merupakan tanaman keempat terbesar meliputi 38 hektar di sekitar Bandar Diraja ini.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda