
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 1 Jan (Malaysiaaktif) – Alunan selawat, qasidah dan marhaban menggegarkan Dewanraya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Taman Nusantara, Gelang Patah sempena program Kota Iskandar Berselawat Munajat Ambang Tahun Baharu 2025 yang diadakan, di sini semalam.

Pandak, berkata program seumpama itu mengajak masyarakat beragama Islam khususnya untuk sentiasa mengingati dan mencintai junjungan Nabi Muhammad SAW.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad, berkata lebih 700 orang telah hadir dan program seumpama itu mengajak masyarakat beragama Islam khususnya untuk sentiasa mengingati dan mencintai junjungan Nabi Muhammad SAW.
“Umat Islam seharusnya menegakkan dan mencontohi nilai dan akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dan seterusnya mempunyai kesedaran untuk menyebarkan amalan berselawat kepada baginda kepada semua golongan masyarakat,” katanya.
Tambah Pandak, pada majlis tersebut juga seramai 30 orang golongan asnaf dalam kawasan Kota Iskandar telah diraikan dengan pemberian bakul makanan sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Seramai 30 orang golongan asnaf dalam kawasan Kota Iskandar turut diraikan dengan pemberian bakul makanan sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Pengisian program berbentuk keagamaan itu diteruskan dengan alunan selawat, qasidah dan marhaban dendangan Kumpulan Firqah Al-Masarrah bimbingan Shaykh Imran Angullia Al-Hafiz dari Pasir Gudang, diikuti ceramah yang telah disampaikan oleh Amin Baitulmal MAINJ Dr. Mohd Firdaus Abdul Hamid.
Turut hadir Penghulu Mukim Pulai Zainuddin Zainal Abidin dan wakil rasmi Yayasan Penyayang Iskandar Puteri Muzaffar Ra’il.
-ZS-