
Laporan/foto: Nur Amirah Abd Rani/Noor Haswan Noor Azman
KOTA BHARU, 2 Jan (Malaysiaaktif) – Reformasi sektor awam di Malaysia akan berjaya dicapai sekiranya matlamat ini disegerakan dengan mengambil kira cabaran pascanormal yang dikenali sebagai Complexity, Chaos dan Contradiction.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan bahawa perkhidmatan awam perlu lebih responsif terhadap keperluan semasa dan kehendak rakyat serta pemegang taruh.

Majlis Aspirasi Ketua Setiausaha Negara bersama anggota perkhidmatan awam Persekutuan dan Negeri, Negeri Kelantan Tahun 2025.
“Untuk mencapai matlamat tersebut, langkah-langkah perlu diambil untuk meningkatkan kecekapan, menggalakkan inovasi serta memperkukuh ekosistem tatakelola dalam sektor awam menerusi peranan penting penjawat awam yang kompeten dan inovatif dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan responsif terhadap kehendak rakyat,” katanya.
Shamsul Azri, berkata demikian di Majlis Aspirasi Ketua Setiausaha Negara bersama anggota perkhidmatan awam Persekutuan dan Negeri Kelantan Tahun 2025, di sini semalam.
Katanya lagi, perubahan ini perlu dalam penyampaian perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan semasa dan mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih dinamik, relevan, dan mampu menyokong pembangunan negara dalam era yang semakin mencabar.
“Reformasi sektor awam di Malaysia menjadi elemen penting untuk memastikan penjawat awam berprestasi tinggi dilengkapi dengan kemahiran, nilai dan etika kerja yang baik.

Sesi fotografi berkumpulan di antara Ketua Setiausaha Negara dan 1,200 penjawat awam.
“Salah satu langkah ialah memanfaatkan teknologi digital dalam sektor perkhidmatan awam seperti permohonan secara atas talian dan aplikasi kemajuan teknologi akan mempercepatkan proses permohonan pelbagai dokumen seperti lesen, kad pengenalan yang boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Shamsul Azri turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara agensi perkhidmatan awam Persekutuan dan Negeri bukan hanya tertumpu kepada perkhidmatan kepada rakyat tetapi mencakupi peranan dalam melaksanakan agenda nasional dan penganjuran majlis berskala besar di Kelantan.
“Sinergi dan kerjasama erat ini sejajar dengan prinsip Whole-of-Government (WoG), yang menekankan kepentingan kerjasama merentasi semua lapisan kerajaan untuk mencapai keberkesanan dan kejayaan dalam setiap inisiatif,” katanya.
-ZS-