
Laporan/ foto: Nor Haliza Ridzuan/ Muhammad Najmi Ariffin (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PASIR, 18 Jan (MalaysiaAktif) – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir merasmikan Program Back To School Parlimen Permatang Pauh yang berlangsung di Dewan Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah.

Sesi menandatangani buku pelawat Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah
Program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Yayasan MyPrihatin ini memberikan manfaat besar buat 500 pelajar daripada 14 buah sekolah menengah dan 21 buah sekolah rendah di seluruh Parlimen Permatang Pauh.
Para pelajar yang terpilih menerima sumbangan tunai sebanyak RM100 setiap seorang serta beg sekolah sebagai tanda sokongan untuk meringankan beban keluarga menjelang sesi persekolahan baharu.

Ketibaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di sambut meriah oleh warga Permatang Pauh
Zakiah Mat Silah, 46, ibu kepada Muhammad Arif Zulhisam, salah seorang penerima sumbangan melahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan.
“Dua hari lepas saya terima Bantuan Awal Persekolahan, Alhamdulillah hari ini terima bantuan daripada Yayasan MyPrihatin pula.
“Terima kasih kerana memahami keperluan kami yang berpendapatan sederhana ini, pastinya anak saya akan lebih bersemangat bila buka sekolah nanti,” katanya.
Datuk Seri Dr. Wan Azizah dalam ucapannya semalam, menekankan pentingnya pendidikan dalam membina masyarakat yang maju.
“Sejak usia muda, YAB Perdana Menteri sentiasa menekankan pendidikan sebagai asas pembangunan dan kini beliau memastikan pendidikan kekal sebagai keutamaan melalui peruntukan terbesar dalam belanjawan negara disalurkan kepada Kementerian Pendidikan untuk manfaat semua,” ujarnya.
Program ini mencerminkan usaha bersama pelbagai pihak dalam memastikan setiap pelajar mendapat peluang pendidikan yang lebih baik seiring dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing.
-AA-