Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Transformasi Perniagaan: Peluang Terokai Pasaran Baru

By 20 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hendry Nurdin/Mahader Lahaire (Sabah)

LAHAD DATU, 19 Jan (MalaysiaAktif) – Melalui inovasi digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan e-dagang, peniaga dapat meningkatkan kecekapan di samping menjangkau pasaran global.

Dengan memanfaatkan teknologi ini, peniaga dapat bersaing secara lebih efektif dan mengembangkan perniagaan ke arah yang meluas selain menawarkan produk yang lebih relevan kepada pelanggan.

Justeru, Timbalan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Datuk Yusof Apdal menggesa, peniaga dan usahawan di Lahad Datu memanfaatkan sains dan teknologi untuk memperkukuh perniagaan mereka dan meneroka idea baharu.

Yusof diiring Pengerusi Program iaitu Peter Ng melawat peniaga pasar malam sebelum majlis perasmian berlangsung kemarin.

“Teknologi moden seperti automasi, digitalisasi dan e-dagang boleh meningkatkan kecekapan serta membuka pasaran baharu.

“Dalam era digital ini, teknologi memainkan peranan penting dalam memacu transformasi perniagaan di seluruh dunia.

“Perniagaan yang mengadaptasi teknologi akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran global,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Pasar Malam Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Jalan Hakka di sini pada Sabtu.

Beliau juga menegaskan bahawa kementeriannya komited dalam menyediakan sokongan kepada peniaga untuk mengaplikasikan teknologi baharu bagi mengembangkan perniagaan sedia ada.

“Melalui program-program seperti Kembara Sains Borneo, kementerian berusaha memastikan masyarakat tempatan dapat memahami dan menggunakan teknologi, juga berpeluang untuk meningkatkan daya saing perniagaan,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dilantik Negeri Sabah, Datuk Yong Teck Lee berkata, pasar malam tersebut antara medium yang berupaya menyatukan pelbagai kaum.

Yong ketika berucap merasmikan program
Pasar Malam tersebut.

“Selain itu, kita memberikan peluang kepada peniaga-peniaga kecil daripada pelbagai latar belakang untuk berkembang dan menjana pendapatan.

“Kami berharap dengan menaik taraf kawasan ini, ia dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat serta peniaga yang beroperasi di sini, supaya juga lebih mesra pelancong dan teratur,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Pasar Malam Sempena Sambutan Tahun Baru Cina kemarin.

Majlis anjuran Persatuan Hakka Lahad Datu itu dihadiri hampir 2,000 orang dengan lebih 100 peniaga dari pelbagai latar belakang penuh dengan aktiviti menarik sempena Tahun Baru Cina.

-RJ-

Tinggalkan komen anda