Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program PBSL Ihsan MADANI: Peluang Kedua untuk Masa Depan yang Lebih Baik

By 24 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip /Mohd Maqdi Salleh (Tawau)

TAWAU, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Masyarakat diseru untuk memberikan sokongan kepada prospek (bekas banduan) yang dibebaskan melalui Program Perlepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, PBSL memberi peluang kepada prospek kembali ke pangkuan keluarga dan komuniti untuk membina masa depan yang lebih baik.

Tegasnya, masyarakat perlu menerima kehadiran mereka ini dengan tangan terbuka kerana penolakan yang berterusan disifatkan hanya akan mengundang kembali prospek ini ke jalan yang salah.

“Justeru, kita semua perlu menerima mereka dengan hati terbuka dan memberi sokongan yang sewajarnya supaya mereka dapat kembali berdiri di atas kaki mereka sendiri.

Andi menekankan pentingnya sokongan masyarakat dalam membantu bekas banduan memulakan kehidupan baru.

“Kejayaan mereka bukan hanya bergantung kepada usaha mereka sendiri, tetapi juga kepada sokongan kita sebagai masyarakat.

“Kita semua berperanan dalam membantu mereka untuk kembali ke landasan yang benar dan memberi mereka peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan Program PBSL Ihsan Madani di Dewan Wawasan Kuarters, Perumahan Penjara Tawau di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak terus memandang serong kepada prospek sekali gus menasihatkan agar prospek menggunakan sebaiknya peluang kedua ini.

“Peluang ini adalah hadiah yang sangat berharga. Gunakan kebebasan ini sebagai permulaan baru untuk membina masa depan yang lebih cerah. Setiap langkah kecil ke arah kebaikan adalah kemenangan besar,” ujarnya.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan surat perlepasan kepada beberapa prospek yang telah menjalani program pemulihan dan kini bersedia untuk kembali kepada masyarakat.

Untuk makluman, Program PBSL dilaksanakan berdasarkan kriteria khusus dan antaranya bagi memberi peluang kepada prospek mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan sendiri.

-RJ-

Tinggalkan komen anda