Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program Kesedaran Awam Tingkat Kepekaan Penduduk Terhadap Risiko Bencana Gempa Bumi

By 12 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Hamizah Ilham/Kinibon Tualah (Kota Marudu)

KOTA MARUDU, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Kejadian gempa bumi lemah dengan gegaran bermagnitud 3.8 pada skala Richter yang berlaku di Kota Marudu pada 10 Februari lalu mendorong penduduk sekitar untuk lebih peka dengan langkah-langkah keselamatan semasa bencana.

Biarpun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan kritikal yang dilaporkan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberi peringatan kepada penduduk untuk sentiasa berwaspada dengan amaran awal yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Maijin berkongsi pengalaman semasa kejadian gempa bumi di Kampung Surun Surun ketika ditemui semalam.

JKKK Kampung Surun Surun, Maijin Garokkan, 50, berkata, program Kesedaran Awam Mengenai Risiko Bencana Gempa Bumi perlu lebih kerap dianjurkan bagi meningkatkan tahap kepekaan masyarakat terhadap tindakan awal bencana gempa bumi.

“Walaupun gempa bumi yang berlaku ini lemah, kita sentiasa mengingatkan penduduk untuk lebih peka dan didedahkan dengan risiko gempa bumi serta tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlaku gempa yang lebih kuat di masa depan.

“Program pendidikan dan latihan tentang keselamatan gempa bumi boleh membantu mengurangkan panik dan meningkatkan kesiapsiagaan kerana respon awal penduduk terhadap gempa ini berbeza-beza mengikut lokasi kejadian dan kekuatan gempa,” katanya ketika di temui di Kampung Surun Surun di sini semalam.

Imbas kembali situasi semasa gempa bumi, jelasnya kebanyakkan penduduk berjaya mengamalkan langkah evakuasi yang telah ditetapkan walaupun dalam keadaan cemas.

“Secara umum, jika gempa tersebut lemah, kawasan kediaman penduduk mungkin tidak akan mengalami kerosakan serius dan tindak balas mereka biasanya adalah lebih kepada reaksi spontan seperti merasa gegaran dan cemas.

Kampung Surun Surun antara lokasi yang merasai gegeran gempa bumi lemah di Kota Marudu.

“Biarpun penduduk kampung merasa gegaran dalam waktu yang singkat, mereka tetap melaksanakan langkah penting seperti keluar ke kawasan lapang untuk mengelakkan kemalangan serius berlaku,” ujarnya.

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) telah mengeluarkan kenyataan berkaitan gempa bumi lemah telah berlaku di Kota Marudu sekitar pukul 10:39 pagi pada 10 Februari 2025.

Berdasarkan laporan tersebut gegaran berkekuatan 3.8 skala Richter itu dilapor berlaku di koordinat 6.3 darjah utara dan 116.8 darjah timur terletak 27 kilometer di selatan Kota Marudu dengan kedalaman 10 kilometer dari permukaan bumi.

-RJ-

Tinggalkan komen anda