
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini
KOTA KINABALU, 14 Feb (Malaysiaaktif) – Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Sabah memberi peluang kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) daripada keluarga asnaf untuk mempromosi dan menjual produk mereka.
Pengusaha IKS asnaf terlibat, Sainah Muming, 53, berkata beliau dijemput untuk menjual produk makanan yang dihasilkannya daripada daerah Tawau sepanjang minggu MTHQ yang bermula pada 13 hingga 16 Februari ini.

Sainah sedang menyusun produk jualan di reruai gerai Asnaf.
Walaupun terpaksa menempuhi sembilan jam perjalanan dari Tawau, ibu kepada lima orang anak ini percaya program seumpama ini membantu beliau meluaskan pasaran luar daripada daerah Tawau.
“Saya menjual beberapa produk yang aslinya dihasilkan dan terkenal di Tawau antaranya keropok bantal, jejari rumpai laut dan keropok balado yang saya usahakan sejak tahun 2019 lagi.
“Saya datang ke sini menaiki bas awam dari Tawau ke Kota Kinabalu dan semua barang dagangan saya angkut menggunakan perkhidmatan van sewa,” ujarnya ketika ditemui semasa Minggu Semarak Al-Quran MTHQ di perkarangan Wisma MUIS, di sini pada Khamis.
Menurut Sainah, beliau turut menerima pelbagai bantuan daripada agensi kesuhawanan kerajaan untuk meningkatkan kualiti serta produktiviti produknya agar sesuai dengan permintaan pelanggan.

Sainah sedang menyusun produk jualan di reruai Gerai Asnaf.
“Antara bantuan yang diterima iaitu lesen perniagaan daripada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah termasuk akses kepada kemudahan, latihan dan bantuan kewangan.
“Produk-produk yang dihasilkan seperti keropok bantal dan jejari rumpai laut kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelanggan dengan menggunakan bahan-bahan terbaik dan berkualiti demi menepati citarasa orang-orang tempatan,” jelasnya,
Untuk makluman, pelbagai pengisian diadakam sepanjang Minggu Semarak Al-Quran sempena MTHQ Negeri Sabah di perkarangan Wisma MUIS antaranya pameran agensi, jualan IKS, program derma darah, klinik al-Quran dan konvensyen al-Quran.
-ZS-