Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jalinan Ukhuwah Sabah, Sarawak Terus Dipertingkat

By 20 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 Oleh: Zuraidah Ahmad & Saiful Rahman Sabri (Sabah)

KOTA KINABALU, 17 Jun  (Malaysiaktif) –? Jalinan ukhuwah dan silaturahim masyarakat Sabah dan Sarawak akan terus dipertingkat menerusi program kerjasama antara Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Hikmah Sarawak.

Yang DiPertua Hikmah, Tan Sri Datuk Amar Abd Aziz Dato Husain yang ditemui media pada sesi lawatannya bersama rombongan ke Menara Usia, pada Khamis, menyatakan hasrat untuk mengadakan kerjasama dengan badan itu dalam konteks pengembangan dakwah Islam, selain program kemasyarakatan yang menjana kesatuan ummah.

“Kita mempunyai hasrat untuk mengadakan kerjasama dengan USIA khususnya dalam hal dakwah, kemasyarakatan, ekonomi dan sebagainya bagi menjalinkan ukhuwah.

“Perkara ini kita akan perhalusi lagi, memandangkan hari ini merupakan lawatan kali pertama Hikmah ke Sabah.

“Bagaimanapun, kita sangat yakin kita boleh wujudkan kerjasama ini tanpa sebarang masalah kerana kedua-dua badan agama ini mempunyai tujuan yang sama,” jelasnya.USIA - HIKMAH 3

Dalam pada itu, Yang DiPertua USIA, Tun Sakaran Dandai turut menyambut baik dan mengalu-alukan cadangan tersebut bagi mengeratkan lagi silaturahim antara dua negeri serta merancang untuk mengadakan kunjungan balas kepada Hikmah Sarawak.

“Kerjasama kedua-dua badan Islam ini amat kita alu-alukan dan kita berharap akan dapat melahirkan anak-anak muda yang mempunyai ilmu pengetahuan yang boleh membangunkan agama, kaum dan negara ini,” ujarnya.

Pada sesi lawatan singkat itu, rombongan tersebut menunaikan solat fardu berjemaah serta solat sunat tarawih yang diimamkan Pegawai Dakwah USIA, Abd Wahab Bustami selepas majlis berbuka puasa.

SF

 

Tinggalkan komen anda