
Laporan/foto:Mazlan Bakar/Yunis Amerull (Nabawan)
NABAWAN, 01 Mac (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di peringkat akar umbi.

Abdul Ghani ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan JKKK Dan Amanat Awal Tahun 2025 di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, JKKK berperanan sebagai wakil kerajaan dalam memastikan keamanan serta menjadi nadi kepada kemajuan sesebuah kampung.
Jelasnya, aspek keselamatan juga perlu diutamakan terutama dalam usaha memerangi gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, judi, penyebaran berita palsu dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Selain itu, mereka juga berperanan memastikan masyarakat setempat tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai pengaruh jahat yang boleh memecah belah serta menggugat keharmonian.

Musah Yangalum menerima Watikah Perlantikan JKKK daripada Abdul Ghani.
“JKKK disarankan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan bagi membincangkan isu keselamatan dan pembangunan kampung secara lebih sistematik,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JKKK dan Amanat Awal Tahun 2025 di Dewan Serbaguna Nabawan di sini semalam.
Abdul Ghani turut menyeru JKKK agar terus komited membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk dan terus menerus menyampaikan maklumat kepada komuniti setempat, terutamanya berkaitan inisiatif serta bantuan kerajaan.
“JKKK perlu merancang dan melaksanakan pelan tindakan pembangunan kampung bagi mewujudkan komuniti yang maju serta memberi impak positif kepada sosioekonomi masyarakat pedalaman.
“Ini penting bagi memudahkan mereka menerangkan kepada penduduk kampung serta membantu dalam proses permohonan. Jika masih kurang pasti, mereka boleh menghubungi atau berkunjung ke Pejabat Daerah atau agensi berkaitan untuk mendapatkan keterangan lanjut,” ujarnya.
Untuk makluman, majlis tersebut menyaksikan seramai 104 individu telah menerima Watikah Pelantikan JKKK bagi Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan.
-RJ-