Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Komuniti Madani Diseru Gunakan Chatbot AIFA Menangani Penyebaran Maklumat Palsu

By 3 Mac 2025Mac 7th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:Mazlan Bakar/Yunis Amerull (Nabawan)

NABAWAN, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Chatbot AIFA (Artificial Intelligence Fact Check Assistant) adalah inisiatif terbaru daripada kerajaan untuk menangani penyebaran maklumat palsu di kalangan masyarakat.

Dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan, Chatbot AIFA menyediakan platform yang mudah diakses bagi orang ramai untuk menyemak kesahihan berita secara dalam talian, sekaligus membantu memastikan maklumat yang diterima adalah tepat dan sahih.

Pegawai Penerangan Daerah Nabawan, Sam Mansibu, menggesa penduduk terutamanya komuniti Madani di kawasan Nabawan agar memanfaatkan Chatbot AIFA sebagai alat untuk mengesahkan kesahihan maklumat atau berita yang diterima.

Sam (duduk, dua dari kiri) bergambar bersama Komuniti Madani Kampung Salarom Baru dan Kampung Malampoi pada program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai kemarin.

“Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, kita sering terdedah kepada maklumat yang tidak sahih di media sosial yang cepat tersebar. Dengan adanya aplikasi seperti Chatbot AIFA, ia memudahkan orang ramai untuk menyemak sama ada sesuatu berita itu benar atau palsu.

“Seperti yang kita ketahui, aplikasi WhatsApp adalah medium komunikasi utama masa kini. AIFA sangat mudah diakses dan tidak memerlukan aplikasi tambahan. Pengguna hanya perlu menyimpan nombor telefon AIFA dan menghantar maklumat yang ingin disemak melalui aplikasi ini.

“Respon daripada AIFA sangat pantas dan jawapannya berdasarkan sumber yang sahih dan terkini,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai, di sini kemarin.

Sementara itu, salah seorang ahli komuniti Madani, Ansami Sundang, 47, dari Kampung Salarom Baru, menyambut baik usaha kerajaan dalam menangani penyebaran maklumat palsu.

“Masyarakat perlu menyedari bahaya penyebaran berita palsu yang boleh menyebabkan kegusaran dan ketakutan dalam kalangan orang ramai. Kita harus memutuskan rantaian berita tidak benar dengan memastikan kesahihan maklumat terlebih dahulu.

“Tunjuk ajar daripada Pegawai Penerangan Nabawan mengenai penggunaan aplikasi ini amat berguna dan akan kami kongsikan dengan ahli komuniti serta masyarakat setempat,” ujarnya.

Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai diadakan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Murni dan dihadiri seramai 24 orang ahli komuniti Madani dari Kampung Malampoi dan Kampung Salarom Baru, Nabawan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda