
Laporan/foto: Mohd Fauzi (Tampin)
GEMENCHEH, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 10 periuk bubur Lambuk disediakan secara gotong-royong oleh 21 jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) di daerah Tampin sempena Program Gerak Rahmah, Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Sembilan 2025 di Dataran Mini Kampung Tengah, di sini semalam.

Ahli Parlimen Tampin menyantuni peserta yang terlibat dalam penyediaan bubur lambuk.
Menurut Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa, program ini bukan sekadar memasak bubur lambuk tetapi turut mengeratkan silaturahim dan perpaduan antara kaum.
“Saya mengingatkan semua masyarakat agar jangan mudah terpengaruh dengan individu yang memainkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum, sebaliknya serahkan segalanya kepada undang-undang.
“Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini, terima kasih juga kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang telah memilih daerah Tampin untuk program peringkat negeri,” ujarnya.

Wakil Pejabat Penerangan daerah Tampin (belakang) mengedarkan risalah berkaitan Prinsip Asas Perpaduan kepada kelab kecergasan Ina Moncheh semasa program berlansung.
Bubur lambuk diedarkan kepada semua KRT dalam daerah Tampin dan juga penduduk sekitar.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh Suhaimizan Bizar, Pengarah Perpaduan Negeri Sembilan Syahilawani Noordin, Penolong Pegawai Daerah Tampin (Pembangunan) Mohd Asri Md Yusof dan Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Gemencheh Md Zin Sevan.
-ZS-