
Laporan/Foto : Moses Andy Julino Stephen (Sarawak)
KUCHING, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Segalanya bermula dengan kunjungan ke pusat kecergasan bersama dengan jurulatih beliau, Jeremiah Rukong, 44, seorang penjawat awam kemudian mula berjinak-jinak dengan sukan bina badan.

Jeremiah Rukong sedang berehat selepas latihan kecergasan
Latihan demi latihan yang diikuti semasa di pusat kecergasan dengan dibantu oleh Lansem Sandah iaitu jurulatih beliau, Jeremiah mula memasuki beberapa pertandingan bina badan sama ada yang dianjurkan di dalam dan luar negara.
Pencapaian tertinggi yang pernah disandang beliau sejak menceburkan diri dalam sukan bina badan adalah apabila mewakili Malaysia ke Singapura dan menjadi juara pada tahun 2018 dan 2019.
Jeremiah selepas itu banyak mewakili Malaysia dengan menyertai ‘Olympia Amateur’ di Hong Kong, pernah mendapat tempat ke-6 Siam Classic di Bangkok dan pernah mendapat tempat ke-3 semasa pertandingan Classic 2017 di Bali, Indonesia.
Selain sukan bina badan, Jeremiah juga aktif dalam bidang lakonan.
“Saya mula menceburi bidang lakonan apabila sering mengikuti isteri saya ke sesi rakaman drama tempatan bermula pada tahun 2019,” katanya semalam.
Bakat beliau dalam bidang lakonan telah dicungkil oleh pihak media tempatan seperti Televisyen Sarawak (TVS) apabila beliau diberikan watak dalam drama-drama tempatan seperti pernah memegang watak utama dalam Telemovie TVS ‘Endu Bayat’ (2023) dan watak sokongan dalam telemovie RTM bertajuk ‘Cinta Mee Kolok” pada tahun 2019 dan ‘Dendam’ pada tahun 2021.
-RJ-