
Laporan/foto: Sabrina Alicia Endoh Bali/Mohammad Ariffin Hassan (Bintulu)
BINTULU, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Dunia yang semakin moden turut semakin mementingkan trend mengayakan rambut dengan pelbagai gaya, namun agak sukar untuk mencari kedai gunting yang boleh memberi kepuasan kepada pelanggan kerana sering kali tidak mengikut cita rasa yang diingini.

Mohammad Adlan pemilik muda kedai gunting rambut trak ketika ditemu bual kemarin.
Masalah tersebut disedari oleh Mohammad Adlan Hamiz Roslan, 25, yang juga adalah pemilik muda kedai gunting rambut trak yang berpendidikan dalam Jurusan Seni Reka Rambut di Giat Mara Baram, Miri.
Sebelum ini, Mohammad Adlan juga pernah memiliki premis kedai gunting rambut di Giat Mara Jepak sejak tahun 2020, namun setahun kemudian, beliau mempunyai idea kreatif untuk mengembangkan perniagaan kedai gunting rambutnya dalam bentuk trak yang diberi nama King Barber Truck: Haircut and Shaves berbanding mencari bangunan baharu yang lain.
Meskipun agak mencabar, namun perniagaannya masih lagi bertahan sehingga ke hari ini.

‘King Barber Truck: Haircut and Shaves’ di Pantai Tanjung Batu, Bintulu.
“Kedai King Barber Truck lebih fokus kepada potongan rambut yang mengikut trend terkini seperti taper fade, French crop, buzz cut, smart cut dan sebagainya.
“Kebanyakkan pelanggan yang datang ke premis kami adalah pelanggan lelaki,” katanya kelmarin.
Tambahnya, kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatannya menyebabkan premisnya menjadi pilihan pelanggan lelaki untuk mengayakan rambut mereka.
Menurutnya lagi, hampir setiap hari premisnya dikunjungi ramai pelanggan terutama pada hujung minggu dan tidak terkecuali ketika musim perayaan serta musim cuti sekolah.
Memilih tempat yang strategik seperti Pantai Tanjung Batu di sini telah menjadikan perniagaannya semakin dikenali di Bintulu kerana orang ramai yang datang beriadah ke Pantai Tanjung Batu turut menggunakan peluang untuk mengunting rambut di kedainya.
-RJ-