
Laporan /foto: Norshazila Ahmad (Selangor)/PSA
SHAH ALAM, 14 Mac (MalaysiaAktif) – “Ilmuwan Islam terdahulu bukan sahaja terkenal dalam bidang keilmuan mereka, tetapi juga sebagai hafiz Al-Quran dan memiliki daya ingatan yang luar biasa, menjadikan mereka lebih mudah menguasai pelbagai disiplin ilmu,” ujar Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Mustapha ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Iftar Mahabbah 2025 di Pusat Islam Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Ts. Mustapha berkata demikian ketika mengulas kejayaan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dalam memperkenalkan Program Techno Huffaz yang menggabungkan kepakaran teknikal dan keilmuan Islam, satu pendekatan inovatif dalam sistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sempena Majlis Iftar Mahabbah 2025 di PSA, di sini semalam.
Diperkenalkan sejak 2017, Program Techno Huffaz memberi peluang kepada pelajar untuk menghafal al-Quran sambil menjalani latihan dalam pelbagai bidang teknikal seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, dan automotif, di mana konsep ini bertepatan
dengan tradisi keilmuwan Islam yang telah melahirkan cendekiawan hebat seperti al-Khawarizmi dan Ibn Sina.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada PSA kerana telah memulakan program Techno Huffaz yang dijalankan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ini satu inisiatif yang amat baik dan mempunyai prospek yang sangat luas,” katanya.

Mustapha (tengah) menyantuni pelajar-pelajar di Pusat Islam Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi turut menzahirkan ucapan tahniah kepada PSA atas pengiktirafan sebagai Politeknik Berprestasi Tinggi bagi kategori Politeknik Premier, selain menerima Anugerah Projek Pembangunan RMK-12 Terbaik serta pengiktirafan dalam program Finishing School Program Participation Award bagi Upskilling Grant for Medical Devices Industries.
Pada majlis tersebut Mustapha turut menyerahkan sumbangan Bantuan Kasih Ramadan daripada Yayasan Perkasa Siswa kepada 20 orang pelajar terpilih dan Sumbangan Kasih Ramadan Pusat Islam PSA kepada 20 Rakan Pusat Pusat Islam (RAPI).
PSA menjadi lokasi keempat Majlis Iftar Mahabbah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dengan kehadiran lebih 1,400 orang kakitangan serta pelajar termasuk bukan Islam serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menyertai program semalam, sekali gus mengungkapkan semangat kebersamaan dan nilai keprihatinan dalam kalangan warga PSA.
Program Techno Huffaz PSA dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh keseimbangan antara pendidikan teknikal dan pembangunan rohani, selari dengan matlamat Malaysia untuk melahirkan modal insan yang holistik dan berkualiti tinggi.
-ZS-