
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Perbadanan Labuan
LABUAN, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Inisiatif 1 Komuniti 1 Pusat Kitar Semula (1C1R) mungkin digunakan di Kampung Patau-Patau 1 untuk mengatasi masalah kebersihan di kawasan itu.

Zaliha (tengah) sedang menerima penerangan perkembangan projek daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya Labuan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa masalah sampah yang hanyut di perkampungan itu perlu diatasi kerana perkampungan itu merupakan kawasan tarikan pelancongan yang menarik.
“Saya akan minta DBKL untuk datang ke Labuan dan berkongsi kepakaran mereka, termasuk inisiatif seperti 1 Komuniti 1 Pusat Kitar Semula (1C1R), untuk memperkukuh pengurusan sisa dan kebersihan di sini.
“Selain itu 1C1R juga memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mendapat sedikit pendapatan tambahan melalui inisiatif itu,” katanya semasa meninjau perkembangan projek menaik taraf jambatan di kampung itu, di sini semalam.

Zaliha (tiga dari kanan) bertukar pandangan dengan Ketua Kampung Patau-Patau 1.
Tambahnya, projek jambatan kampung itu sudah melalui dua fasa dan dua fasa akhir dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini iaitu sembilan bulan lebih awal dari tarikh sebenar.
-ZS-