Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Ambil Iktibar Insiden Lahad Datu: Upacara Peringati Wira Negara

By 15 Mac 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hendry Nurdin/Adhwa Dhiya Iqbal Mohd Rais (Lahad Datu)

Lahad Datu, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Peristiwa hitam tragedi Lahad Datu yang berlaku 12 tahun lalu adalah bukti semangat juang anggota keselamatan mempertahankan kedaulatan negara dan rakyat.

Jamaludin (tengah) bersama Firuz ketika sesi temu bual di di Masjid Nurul Aman, Taman Aman Jaya di sini kemarin.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Sabah, Datuk Dr. Jamaludin Mohd Ali berkata, bersandarkan sejarah perjuangan tersebut, adalah wajar keselamatan negara ini adalah tanggungjawab bersama termasuk rakyat negara ini.

“Keselamatan negara ini adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa serta anggota keselamatan, selain pihak berkuasa, rakyat Malaysia juga perlu memainkan peranan penting dalam memastikan ketenteraman dan keselamatan negara terus terjamin.

“Pengorbanan anggota keselamatan yang terlibat dalam peristiwa tersebut adalah bukti bahawa pasukan keselamatan negara sentiasa komited dalam menjaga keselamatan negara, khususnya di Sabah,” katanya ketika Bacaan Yassin, Tahlil Dan Doa Selamat di Masjid Nurul Aman, Taman Aman Jaya di sini, pada Khamis.

Firuz menyampaikan amanat khas dan penghargaan kepada pasukan keselamatan di sini kemarin.

Program khas tersebut dianjurkan sempena memperingati perwira negara semasa krisis Lahad Datu yang berlangsung daripada 11 Februari sehingga 24 Mac 2013 bermula di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen@Benetty Mohd Dzul berkata, insiden tersebut bukan sekadar sejarah yang harus dikenang, tetapi peringatan bahawa keamanan yang dinikmati hari ini dicapai melalui perjuangan dan pengorbanan yang sangat besar.

“Generasi muda harus menyedari bahawa pengorbanan yang dilakukan oleh anggota keselamatan tidak ternilai harganya dan insiden Lahad Datu mengingatkan bahawa ancaman boleh berlaku bila-bila masa, oleh itu kita mesti bersatu dan berjaga-jaga demi mengekalkan keamanan negara,” ujarnya.

Antara anggota keselamatan yang hadir bagi memperingati pengorbanan wira-wira negara.

Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Nurul Aman, Dr. Mohammad Ayub Yaacob percaya, program seperti ini amat penting sebagai peringatan kepada masyarakat pentingnya menjaga kedaulatan negara demi keamanan sejagat.

“Program ini turut melibatkan komuniti setempat, yang menjadi simbol perpaduan serta usaha mengukuhkan hubungan antara masyarakat dan pihak berkuasa bagi memastikan keamanan dan keharmonian berterusan di Lahad Datu serta Malaysia secara keseluruhannya,” jelasnya.

Untuk makluman, dianggarkan seramai 200 orang hadir ke program tersebut dan turut diimarahkan dengan acara rakaman takbir hari raya, tazkirah khas Ramadan serta majlis berbuka puasa bersama pasukan keselamatan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda