Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kerajaan Persekutuan Menambah Ceria Mangsa Banjir

By 17 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Baling)

BALING, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Fenomena luar biasa kejadian banjir di Daerah Baling baru-baru ini dianggap sebagai musibah, namun begitu, hari ini seramai 413 mangsa banjir beroleh sedikit kelegaan kerana menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada keseluruhan mangsa yang terlibat banjir di Daerah Baling.

Antara mangsa banjir yang hadir sedang menunggu giliran untuk mendaftar

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pejabat Pembangunan Kerajaan Persekutuan Negeri Kedah melalui Sesi Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kerajaan Persekutuan yang diadakan di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak (Baru), pagi ini.

Salah seorang penerima bantuan, Abdul Majid Md Daud kelihatan ceria ditemani anaknya bagi menerima bantuan

Antara mangsa banjir yang terlibat adalah dari Kampung Batu 8 Weng, Kampung Paya Siput Kampung Haji Abas, Kampung Seberang Pekan, Lubuk Pedati serta puluhan lagi kampung yang turut menerima kesan daripada kejadian banjir berkenaan.

Setiap mangsa banjir yang hadir menerima sumbangan berupa wang tunai RM1,000.

Hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir adalah Pengarah Pejabat Pembangunan Kerajaan Persekutuan Negeri Kedah, Zepri Saad, serta turut hadir bersama ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Mohd Nasrun Suid.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling dilantik sebagai sekreteriat sesi penyampaian sumbangan ini dimana anggota APM bertindak sebagai pemudah cara bagi sesi pendaftaran para penerima sumbangan.

Seorang penerima yang ditemui, Abdul Majid Md Daud, 82, dari Kampung Paya Siput yang begitu ceria hadir ditemani anak, menyatakan bahawa kediaman beliau dilanda banjir berulang dalam kejadian tersebut.

“Pemberian bantuan Wang Ihsan Kerajaan Persekutuan ini memberi sedikit kelegaan kerana dapat menampung kerugian yang dialami saya sekeluarga,” katanya ketika ditemui.

-AA-

Tinggalkan komen anda