Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Sebemban Pastikan Masyarakat Setempat Dapat Informasi Jelas dan Mudah Difahami

By 20 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Iswandi Kassim/Misi Nyamok (Sarawak)

SRI AMAN, 20 Mac (MalaysiaAktif) – Dalam usaha merakyatkan penyampaian maklumat dan memastikan masyarakat setempat mendapat informasi yang jelas serta mudah difahami, program JIWA Komuniti MADANI @ Sembang Santai Komuniti MADANI telah diadakan di Rumah Rami Jaritan, Sebemban, Sri Aman semalam.

Sesi Soal Jawab oleh Rami Jaritan di sini semalam.

Program tersebut bertujuan untuk menyampaikan dasar serta inisiatif kerajaan kepada masyarakat setempat dalam bentuk yang lebih santai dan mudah difahami.

Pendekatan tersebut amat penting bagi memastikan komuniti tidak hanya menerima maklumat, tetapi juga memahami dan dapat memanfaatkannya dalam kehidupan seharian.

Menurut Pegawai Penyelaras Komuniti MADANI Sebemban, Misi Nyamok, program itu bukan sahaja menjadi platform penyampaian maklumat dasar kerajaan, tetapi juga menonjolkan kepentingan penggunaan bahasa dan dialek tempatan bagi memastikan mesej sampai secara jelas dan tidak disalah erti.

“Kami sengaja mengelak bahasa formal dan dengan pendekatan santai dan interaktif serta penggunaan loghat Bahasa Iban dalam interaksi, program ini memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami isu-isu penting seperti belanjawan, jenayah siber, dan penggunaan teknologi kerajaan,” katanya.

Misi Nyamok sedang berkongsi tips mengenai isu Jenayah Siber serta inisiatif kerajaan dalam bahasa Iban.

Sementara itu, menurut Pengerusi Komuniti MADANI Sebemban Walter Ijau Medan, 65, berkata beliau menyambut baik pendekatan sebegitu kerana ianya turut menyaksikan keterlibatan aktif komuniti dalam berinteraksi melalui soal jawab dan diskusi terbuka termasuk turut berkongsi tips praktikal berkenaan isu Jenayah Siber.

“Selain pendekatan memberi ruang kepada peserta untuk bertanya terus kepada penceramah mengenai isu yang kurang difahami atau yang berkaitan dengan komuniti mereka, melalui program sembang santai ini juga turut memberi peluang kepada wakil daripada Komuniti MADANI untuk berdiskusi setiap kali selepas ceramah,” tambahnya.

Antara topik utama yang diketengahkan dalam program ini ialah Belanjawan 2025, Kepengerusian ASEAN 2025, Pindaan Akta Komunikasi & Multimedia (Akta 588), Jangan Jadi Mangsa Penipuan (Scammer) dan penggunaan AIFA Chatbot.

Selain itu, isu-isu penting seperti pemerdagangan orang, etika bendera Malaysia, sindiket jenayah penipuan pekerjaan serta prinsip asas perpaduan turut diketengahkan dalam bahan edaran edukatif di mana ilustrasi atau infografiknya menggunakan dialek tempatan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda