
Laporan/foto: Juhaisa Azrin/Nur Bazilah (Lipis)
LIPIS, 21 Mac (MalaysiaAktif) – Warga Lipis meluahkan rasa teruja dan terharu apabila berkesempatan bertemu dengan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli ke Bazar Ramadan Lipis, di sini semalam.

Baginda Sultan tidak melepaskan peluang membeli juadah di Bazar Ramadan Lipis.
Kehadiran Baginda ke bazar yang menjadi tumpuan ramai itu disambut dengan penuh rasa gembira oleh rakyat jelata yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman serta merakamkan gambar bersama.
Seorang peniaga, Roslan Ahmad, 45, meluahkan rasa terharu dan bangga kerana dapat bertemu secara langsung dengan Sultan Pahang.
“Kami rakyat Pahang amat bertuah kerana mempunyai seorang Sultan yang dekat dengan rakyat, Baginda sudi turun padang melihat keadaan kami dan memberi sokongan moral yang sangat bermakna,” katanya.

Baginda Sultan bersama peminat ciliknya.
Dalam lawatan itu, Baginda turut membeli juadah berbuka puasa dan keprihatinan Baginda terhadap peniaga kecil jelas tergambar.
Turut mengiringi Baginda Sultan adalah anakandanya Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta pegawai-pegawai kerajaan negeri dan daerah.
Sikap rendah diri Baginda Tuanku ini sekali lagi membuktikan keakraban antara institusi diraja dan rakyat.
-ZS-