
Laporan/foto: Juhaisa Azrin/Shahrossaleh Radzali (Lipis)
LIPIS, 21 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 388 orang peserta rancangan sosial di Daerah Lipis menerima sumbangan Aidilfitri daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dalam satu majlis, di sini semalam.
Majlis yang berlangsung penuh meriah itu telah diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Pahang Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail yang turut menyampaikan sumbangan kepada para penerima.

Dalam majlis yang sama penyampaian cek cura kepada JPKK Rancangan Sosial turut diadakan.
Bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban peserta dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Dalam ucapannya, Wan Rosdy mengucapkan tahniah kepaa PKPP atas usaha dan keprihatinan mereka dalam memastikan bantuan ini dapat diteruskan saban tahun.
“Usaha PKPP dalam menyalurkan bantuan ini amat dihargai dan saya mengucapkan syabas dan tahniah atas keprihatinan mereka dalam membantu rakyat.

Penerima sumbangan tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama pemimpin kesayangan mereka.
“Tahun lepas dalam dewan yang mulia ini kita berkumpul dan pada tahun ini sekali lagi kita dapat bersama dengan setiap peserta akan menerima bantuan sebanyak RM700 dan diharapkan sumbangan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk persiapan Aidilfitri,” katanya.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, diharapkan golongan yang memerlukan dapat menikmati suasana perayaan yang lebih ceria dan bermakna bersama keluarga tercinta.
-ZS-