
Laporan/Foto : Iswandi Kassim/Fakri Zafran (Sarawak)
SRI AMAN, 22 Mac (MalaysiaAktif) – Kebergantungan masyarakat terhadap maklumat yang tepat dan sahih merupakan pemangkin utama dalam pembangunan minda serta kemajuan sosioekonomi sesebuah masyarakat, terutamanya di era digital yang dipenuhi dengan pelbagai sumber maklumat.

Fakri menyampaikan ceramah ringkas dengan penduduk Rh Panjang Langkang Ulu kemarin.
Menyedari kepentingan ini, Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Sri Aman terus mempergiatkan program ‘Info On Wheels’ (IOW) walaupun dalam bulan Ramadan, bagi memastikan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, menerima maklumat yang tepat dan sahih.
Program ini dilaksanakan dengan menggunakan kenderaan Unit Bergerak JAPEN yang menjelajah ke lokasi-lokasi strategik di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili.
Melalui kaedah hebahan bergerak yang ikonik menggunakan pembesar suara, JAPEN Daerah Sri Aman menyampaikan maklumat secara langsung kepada penduduk.
Selain itu, risalah penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia turut diedarkan kepada orang ramai bagi meningkatkan kesedaran tentang isu-isu semasa dan inisiatif kerajaan.
Menurut Fakri Zafran, 36, penyebaran maklumat yang tepat mampu memastikan rakyat mendapat maklumat yang sahih tentang isu-isu semasa serta program dan dasar kerajaan.

Fakri menyerahkan bahan penerbitan JaPen berkaitan dasar negara dan isu semasa kepada penduduk di rumah panjang di sini kemarin.
“Ini penting untuk mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya semalam.
Selain hebahan dan pengedaran risalah, program tersebut turut menyelitkan ceramah ringkas mengenai Keselamatan Dalam Talian – Peranan Komuniti bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga keselamatan dan privasi dalam penggunaan internet, serta peranan komuniti dalam memerangi ancaman siber.
Program ‘Info On Wheels’ ini meliputi lokasi-lokasi strategik yang menjadi tumpuan masyarakat setempat seperti Rumah Panjang Langkang Ulu, Langkang Ili, Tabut, dan pasar Engkilili di sini.
-RJ-