
Laporan/foto: Hasnida Sarani
NILAI, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025.
“Pelaksanaan skim ini akan berkuatkuasa selama 15 hari bermula 24 Mac hingga 7 April 2025 iaitu tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.

26 jenis barangan kawalan bagi SHMMP Hari Raya Puasa 2025.
“26 jenis barangan tersenarai dalam skim ini berbanding 22 barangan pada Tahun 2024,” kata Timbalan Menteri KPDN Senator Dr. Fuziah Salleh di Pasar Raya AEON Nilai, kelmarin.
Menurutnya Pegawai Penguatkuasa KPDN Negeri Sembilan telah ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan.
“Ia bertujuan untuk memaklumkan tentang langkah kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan dan bertujuan memelihara kebajikan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana di bandar atau di luar bandar bagi persediaan sambutan perayaan Hari Raya Puasa 2025.
“Selain itu, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011). Ia termasuk tindakan bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal serta menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum,” ujarnya.

Dr. Fuziah melakukan jelajah mesra pemantauan harga barangan keperluan.
KPDN Negeri Sembilan juga meminta kerjasama orang ramai untuk membuat aduan sekiranya berlaku salah laku oleh peniaga berhubung ketidakpatuhan ke atas skim bersama butiran aduan yang lengkap melalui saluran Whatsapp ke 019-8488000, Aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan Veerapan Superamaniam.
-ZS-