
Laporan/foto: Kartina Saruni (Tangkak)
TANGKAK, 28 Mac (MalaysiaAktif) – Yayasan Makmur Tangkak meneruskan misi menyampaikan sumbangan kepada 110 penerima dalam kawasan Parlimen Ledang bagi membantu meringankan beban mereka yang tidak tersenarai dalam e-Kasih dan asnaf.
Pengerusi Yayasan Makmur Tangkak, Datuk Fahariyah Md Nordin, dalam ucapannya menegaskan komitmen yayasan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Ucapan aluan oleh Pengerusi Yayasan Makmur Tangkak.
“Kami beriltizam untuk terus memberi bantuan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan. Selain bantuan sempena perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali, yayasan juga menyediakan program Back To School kepada pelajar yang layak.
“Kami percaya bahawa setiap individu berhak mendapat bantuan yang sewajarnya tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya, di sini semalam.
Bantuan yang diberikan merangkumi wang tunai sebanyak RM100, bakul makanan berisi barangan keperluan, serta sepasang kain sumbangan Jakel telah disampaikan oleh Ketua Whip Majlis Daerah Tangkak Datuk Rahim Talib.
Rahim ketika ditemui berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu penerima membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Jangan kita lupakan mereka yang kurang bernasib baik dan bantulah sekadar termampu dan semoga usaha baik ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Antara penerima sumbangan yang hadir.
Beliau juga turut menyeru agar lebih ramai pihak tampil membantu golongan yang memerlukan.
Yayasan Makmur Tangkak, yang ditubuhkan di bawah Majlis Daerah Tangkak, bertujuan membantu penduduk setempat yang memerlukan tetapi tidak layak menerima bantuan melalui saluran rasmi e-Kasih dan senarai asnaf.
Majlis penyampaian sumbangan ini turut dihadiri oleh wakil-wakil komuniti setempat dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
-ZS-