Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Sambutan Aidilfitri MADANI Selangor Dibatalkan

By 5 April 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Facebook Amirudin Shari

SHAH ALAM, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI bersama Perdana Menteri peringkat Negeri Selangor pada Ahad ini dibatalkan.

Keputusan itu dibuat sebagai menghormati mangsa tragedi kebakaran akibat letupan paip gas di Putra Heights dalam kejadian pada Selasa lalu

Mengikut jadual, program itu sepatutnya berlangsung di Dataran Kawad Akademi Percukaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Bandar Baru Bangi bermula pukil 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata keputusan berkenaan mendapat perkenan Sultan Selangor serta persetujuan Perdana Menteri.

“Segala persiapan seperti makanan akan disalurkan kepada pusat pemindahan sementara (PPS), rumah anak-anak yatim, sekolah berasrama serta petugas keselamatan.

“Mewakili seluruh warga Kerajaan Negeri, saya memohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul susulan pembatalan ini demi menghormati mangsa dan keluarga yang terlibat dengan insiden di Putra Heights,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada pasukan petugas dan pelaksana program tersebut yang bertungkus lumus memastikan majlis berkenaan berjalan lancar.

“Namun saya sangat menghargai persefahaman bersama demi maslahah yang lebih utama.

“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita juga dalam bersolidariti membantu mangsa dan semua pihak jua,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda