
Laporan/foto: Anuar Che Amat
PADANG BESAR, 8 Apr (MalaysiaAktif) – Penubuhan kilang pembuatan baharu di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping bukan sahaja merupakan satu pencapaian besar bagi negeri negeri Perlis malah detik penting bagi seluruh wilayah utara.
“Pelaburan dalam fasiliti ini akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, merangsang pembangunan kemahiran, serta memacu kemajuan teknologi, yang akan memberikan manfaat besar kepada rakyat Perlis dan kawasan sekitarnya.

Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan bergambar kenangan bersama tetamu jemputan yang hadir.
Turut berangkat Tuanku Raja Muda Perlis.
“Fasiliti ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Jabil terhadap kecemerlangan, malah menzahirkan potensi besar untuk pembangunan industri
yang lebih pesat di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) pada masa hadapan,” titah Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Baginda Raja Perlis bertitah demikian di Majlis Perasmian Kilang Jabil di CVIA, Chuping Perlis, di sini semalam.
Turut berangkat sama DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama cucuanda baginda YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Tambah Tuanku Syed Sirajuddin lagi, perjalanan yang membawa kita ke detik bersejarah ini bermula pada tahun 2018 apabila kerajaan negeri meluluskan tanah untuk tujuan pembangunan dan jalinan kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri Perlis, Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA), Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Jabil.

Kilang Jabil di Kawasan Perindustrian Chuping Lembah Chuping.
“Pembinaan kilang ini bermula pada tahun 2022 dan segala hasil usaha sama semua pihak yang terlibat, pembinaan ini telah berjaya disiapkan pada tahun 2024, membawa kita ke hari perasmian yang penuh bermakna ini.
“Peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang akan diwujudkan di sini akan meningkatkan taraf hidup rakyat, memupuk bakat tempatan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri kitat,” titah baginda.
Berkeluasan 45,000 kaki persegi, kilang ini direka merangkumi keupayaan dalam proses pemasangan akhir, ujian dan pembungkusan (FATP), pemasangan mekanikal penuh, pemasangan papan litar bercetak dan konfigurasi bina-ikut pesanan.
-ZS-