Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Bekalan Elektrik, Telekomunikasi Dijangka Pulih Sepenuhnya Jumaat Ini

By 5 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang/Norshazila Ahmad (Selangor)

SUBANG JAYA, 8 Apr (MalaysiaAktif) – Bekalan elektrik dan telekomunikasi di kawasan terlibat insiden paip gas meletup di Putra Heights dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Negeri Selangor Datuk Ir. Izham Hashim, berkata bekalan utiliti berkenaan turut melibatkan Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah.

Datuk Ir. Izham di hadapan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) selepas meninjau lokasi kejadian letupan paip gas di Putra Heights hari ini.

“Ada sikit lagi rumah yang belum buat ujian load test disebabkan tiada tuan rumah untuk pastikan pendawaian dalaman dalam keadaan baik.

“Pihak Telekom juga maklumkan perkhidmatan Unifi akan pulih Jumaat ini,” katanya.

Izham berkata demikian selepas meninjau lokasi insiden paip gas meletup di Pusat Media, sini hari ini.

Mengenai siasatan punca letupan, Izham, berkata ia akan mengambil sedikit masa dan akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

“Kita tiada apa-apa untuk sembunyikan, perkara ini untuk keselamatan semua.

“Ia memang akan mengambil masa kerana kita ada pengalaman insiden-insiden hampir sama sebelum ini kerana ia melibatkan banyak perkara dan pelbagai pihak,” ujarnya.

Beliau menjelaskan kerja-kerja pelaksanaan di rizab laluan (ROW) saluran paip tersebut mendapat kelulusan permit serta mengikut prosedur ditetapkan.

“Tidak timbul isu illegal, cuma kita sedang melihat punca sebenar insiden tersebut.

“Paling penting adalah langkah susulan kepada jajaran paip gas di seluruh Selangor untuk pastikan kejadian tidak berulang,” jelasnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda