Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

JIWA @ Komuniti Madani Kukuhkan Perpaduan Sempena Aidilfitri

By 9 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nadia Abdullah (Kluang)

KLUANG, 12 Apr (Malaysia Aktif) – Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti Madani yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri telah berjaya memperkukuh ikatan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.

Kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kluang mengambil kesempatan mengedarkan bahan penerbitan jabatan kepada tetamu.

Program anjuran bersama Komuniti MADANI Parlimen Kluang dan Komuniti MADANI Taman Muhibbah, berlangsung meriah di perkarangan Pejabat Penerangan Daerah Kluang, semalam dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin komuniti, wakil jabatan kerajaan dan agensi swasta serta ketua-ketua kampung dan penghulu mukim.

Kehadiran masyarakat pelbagai kaum Melayu, Cina dan India jelas menunjukkan semangat kebersamaan dan keterangkuman, seiring prinsip Malaysia Madani yang mengutamakan perpaduan dalam kepelbagaian.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, dalam ucapannya berkata program ini membuktikan bahawa semangat Aidilfitri mampu menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang. Apabila rakyat duduk semeja, berkongsi juadah dan senyuman, itulah gambaran sebenar Malaysia Madani yang inklusif dan berteraskan nilai.

Beliau turut menyeru agar masyarakat menjadi lebih bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat serta menggunakan teknologi seperti AIFA (Artificial Intelligence Fact-Check Assistant) bagi menyemak kesahihan fakta.

“Penyebaran berita palsu boleh menjejaskan keharmonian sosial justeru, penggunaan teknologi untuk semakan fakta wajar dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Syed Hussein Syed Abdullah, ketika ditemui, berkata Komuniti MADANI bukan sekadar penggerak program, tetapi nadi pengukuh perpaduan di peringkat akar umbi.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan JIWA Aidilfitri semalam.

“Program seperti ini sangat penting untuk mengeratkan silaturahim, mendekatkan pemimpin dan rakyat agar tiada jurang serta dapat menyemarakkan nilai murni dan mengeratkan lagi perpaduan,” ujarnya.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, jamuan Aidilfitri dan aktiviti santai yang melibatkan seluruh komuniti secara langsung.

Program JIWA @ Komuniti Madani bukan sahaja menjadi medan sambutan perayaan, tetapi juga platform strategik yang memperluas jaringan kerjasama antara agensi dan memperkukuh hubungan antara rakyat dan kepimpinan, dalam semangat Malaysia Madani yang menyeluruh dan berdaya tahan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda