
Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad
PASIR MAS, 12 Apr (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Bukit Tandak, Rantau Panjang terus memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara masyarakat luar bandar dan bandar melalui pelbagai program komuniti, termasuk khidmat luar pusat yang dijalankan hari ini.

Rohaida Zahari menyampaikan mesej kepada masyarakat berkaitan program NADI.
Program berlangsung di Dewan Masjid Al-Ehsan, Kampung Bakat, Rantau Panjang sempena sambutan Aidilfitri menerusi inisiatif JIWA@Komuniti Amadani Cabang 4 Salam, dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Pasir Mas.
Pengurus NADI Bukit Tandak Rohaida Zahari, 34, berkata program ini bertujuan memperluaskan akses kepada maklumat dan sokongan kepada golongan usahawan, belia serta masyarakat luar bandar dalam mempertingkatkan celik digital dan sosioekonomi mereka.
“Fungsi NADI kini diperluaskan bagi menyokong pelbagai inisiatif kerajaan termasuk keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri serta penyediaan kelas tuisyen dalam talian secara percuma kepada pelajar sekolah,” jelasnya.
Seorang pengunjung, Faridah Mohamad, 45, menyatakan penghargaan terhadap kemudahan yang disediakan oleh pusat berkenaan.
“NADI sangat membantu dalam pelbagai urusan termasuk permohonan program seperti Sejati Madani. Ia memudahkan masyarakat luar bandar seperti kami,” katanya.

Sessi soal jawab bersama masyarakat.
Menurut Faridah, peranan NADI bukan sahaja memperkasa masyarakat luar bandar, tetapi juga menjadi pemangkin kepada daya saing ekonomi dan sosial antara masyarakat bandar dan luar bandar.
Program Komuniti MADANI yang dihadiri Ketua KM Cabang 4 Salam Hj Mohamad Sidek Yaakob dan Pegawai Penerangan Daerah Pasir Mas Noriham Ahmad, turut memberi penerangan mengenai isu-isu semasa serta menyampaikan maklumat berfaedah kepada penduduk setempat.
Inisiatif ini menjadi bukti komitmen kerajaan dalam memperkasa rakyat melalui penyampaian maklumat yang menyeluruh serta meningkatkan keterlibatan masyarakat dalam agenda pembangunan negara.
-ZS-