
Laporan/foto: Noor Zulaikha Mazlan
JELI, 18 Apr (MalaysiaAktif) – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli berlangsung dalam suasana penuh ceria dan harmoni semalam dengan kehadiran lebih 300 tetamu terdiri daripada warga kerja pelbagai jabatan dan agensi kerajaan sekitar daerah ini.
Majlis yang diadakan di perkarangan pejabat berkenaan dilihat bukan sahaja menghidupkan semangat Syawal, malah turut menjadi platform penting bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama penjawat awam.

Kehadiran orang ramai.
“Majlis seperti ini sangat bermakna kerana ia bukan sahaja meraikan Hari Raya, tetapi juga mengukuhkan jalinan ukhuwah antara jabatan,” kata salah seorang urus setia majlis NorAzman Shawi, 35.
Antara tarikan utama majlis adalah deretan gerai makanan dan minuman yang menyajikan pelbagai juadah tradisional yang membuka selera.
Hidangan popular seperti rendang daging, ayam masak merah, nasi impit, lemang, ketupat palas dan kuah kacang menjadi pilihan ramai, selain menu istimewa seperti kambing golek dan aneka biskut raya seperti tart nenas, almond london, biskut badam dan coklat cip.
Pembantu Tadbir di Jabatan Pertanian Daerah Jeli Norlina Ahmad, 34, sangat teruja menghadiri majlis tersebut yang dianggap sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan ramai.
“Saya seronok dapat berkumpul bersama rakan-rakan sambil menikmati pelbagai jenis juadah.
“Rendang daging dan lemangnya memang terbaik, dan pilihan biskut raya sangat pelbagai. Paling saya suka, tart nenas dan almond london,” katanya sambil tersenyum.
Norlina turut memuji minuman yang disediakan, khususnya air strawberry mojito yang disifatkannya menyegarkan dan sesuai dengan cuaca panas.

Orang ramai menikmati pelbagai makanan dan minuman yang disediakan.
Selain jamuan, majlis turut diserikan dengan persembahan artis tempatan terkenal, Man Khan, yang menghiburkan para tetamu dengan lagu-lagu raya klasik seperti Suasana Hari Raya dan Balik Kampung.
Persembahan beliau berjaya mencipta suasana mesra dan penuh nostalgia apabila para hadirin turut serta menyanyi dan bertepuk tangan mengikut rentak lagu.
Secara keseluruhan, majlis ini membuktikan keupayaan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli dalam menganjurkan program yang bukan sahaja menyemarakkan semangat perayaan, tetapi turut memperkukuh hubungan sesama warga kerja dalam suasana penuh muhibah dan kegembiraan.
-ZS-