
Laporan/foto: Azfa Saffie (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 20 Apr (Malaysiaaktif) – Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Selangor (PKMDKS) menganjurkan Program Advokasi dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri sebagai salah satu inisiatif tahunan yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kerja PKMDKS, agensi rakan strategik serta komuniti setempat kelmarin.

Azlin Hezri menyantuni tetamu daripada kalangan Orang Kurang Upaya.
Program berjaya menghimpunkan pelbagai pihak termasuk Sukarelawan JKM, Rumah Tunas Harapan (RTH), Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), serta Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK).
Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Selangor Poovaneswaran Supramaniam, penganjuran program ini bukan sahaja berfungsi sebagai jambatan mengeratkan ukhuwah, malah menjadi wadah penghargaan kepada individu dan organisasi yang konsisten menyokong pelaksanaan program kebajikan di daerah ini.
“Program seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan semangat kerjasama antara agensi, malah memberi ruang kepada masyarakat untuk lebih memahami dan menghargai peranan agensi kebajikan dalam memelihara kesejahteraan komuniti setempat secara menyeluruh,” ujarnya.
“Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan agensi dan jabatan kerajaan mengenai bidang tugas serta keperluan masing-masing dalam melaksanakan dasar kerajaan ke arah meningkatkan taraf hidup sosial masyarakat,” katanya.
Menurutnya lagi program tersebut turut menjadi platform memperkukuh jaringan sokongan antara agensi, komuniti, serta kumpulan sasar.

Pemberian duit raya kepada anak-anak istimewa.
”Program ini juga memainkan peranan sebagai medium advokasi kepada perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi kebajikan kepada masyarakat umum,” katanya.
Sementara itu, kehadiran isteri kepada Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad iaitu Datin Seri Azlin Hezri memeriahkan majlis dengan ramah mesra bersama tetamu dan penyampaian duit raya kepada anak-anak istimewa daripada lima buah PDK dalam daerah Kuala Selangor.
-ZS-