
Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar
BACHOK, 20 Apr (MalaysiaAktif) – Selaras aspirasi untuk memperkasa komuniti dan memastikan kepimpinan dengan rakyat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah melaksanakan Program Tautan Perdana JPA-INTAN di Kampung Telaga Ara, di sini semalam.

Lawatan ke reruai perkhidmatan Kerajaan yang tidak henti dikunjungi penduduk setempat.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Santuni MADANI, yang bertujuan merapatkan hubungan antara penjawat awam dan masyarakat menerusi pendekatan mesra komuniti dan aktiviti lapangan berimpak tinggi.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, yang turut menyantuni warga emas serta menyampaikan sumbangan kepada penduduk menerusi program Ziarah Kasih.
“Tugas penjawat awam bukan hanya di pejabat. Kita perlu turun padang, menyelami denyut nadi rakyat dan mendengar keluhan mereka.
“Hanya dengan cara itu kita dapat mencari penyelesaian terbaik terhadap isu-isu yang dihadapi di peringkat akar umbi,” katanya.
Wan Ahmad turut menegaskan bahawa cabaran dalam perkhidmatan awam kini semakin kompleks dan memerlukan pendekatan lebih inklusif serta responsif.
Menurutnya lagi, Program Tautan Perdana yang dilaksanakan di seluruh negara memberi ruang kepada ketua-ketua jabatan memilih kampung angkat masing-masing untuk dibantu, khususnya dalam aspek infrastruktur dan pembangunan insan.
“Walaupun tiada peruntukan khusus disediakan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak turun membantu masyarakat.
“Kita boleh memanfaatkan kerjasama strategik antara pelbagai agensi bagi membawa perubahan,” ujarnya.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti dijalankan melibatkan aspek kebajikan, perkhidmatan, sukan dan keilmuan.
Antara yang menarik perhatian ialah pertukaran topi keledar dan mushaf al-Quran lama,Program Jualan Rahmah serta perkhidmatan penggantian kad pengenalan dan pendaftaran pekerjaan sektor awam.
Dalam aspek kebajikan, pasukan program turut melaksanakan baik pulih rumah, pengecatan masjid, penggantian karpet rumah ibadat serta kerja-kerja pembaikan asas bagi kediaman daif.
Aspek keilmuan turut diberi perhatian dengan penganjuran Forum Hal Ehwal Islam, kelas asas 3M (membaca, menulis dan mengira), serta kelas tambahan bagi pelajar yang berhasrat memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Kaunter pertukaran 1000 topi keledar secara percuma mendapat sambutan paling menggalakkan.
Program turut disemarakkan dengan sukan rakyat dan bekwoh yang berjaya mengeratkan hubungan antara penjawat awam dan penduduk kampung.
Tan Sri Wan Ahmad Dahlan turut menzahirkan harapan agar program seumpama ini diteruskan secara berkala dan diperluas ke lebih banyak kawasan pedalaman.
“Objektif utama kita adalah untuk memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada perhatian, perkhidmatan dan kasih sayang Kerajaan,” katanya, selari dengan semangat Malaysia MADANI yang mengangkat nilai ihsan, hormat dan kesejahteraan.
Program Tautan Perdana di Kampung Telaga Ara membuktikan bahawa dengan semangat gotong-royong, kerjasama pelbagai agensi dan keprihatinan penjawat awam, kemajuan dan kesejahteraan komuniti desa mampu direalisasikan secara berkesan.
-ZS-