
Laporan/Foto: Daniel Jong & Budin Gumbang (Sarawak)
KAPIT, 21 Apr (MalaysiaAktif) – Keterujaan jelas terpancar pada wajah peserta warga emas apabila mereka berpeluang menaip menggunakan komputer buat pertama kali dalam satu sesi khas anjuran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Kapit dengan kerjasama Komuniti MADANI (KM) Nanga Semulong, semalam.
Program ini memberi tumpuan kepada penguasaan asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), khususnya dalam aspek penyediaan minit mesyuarat, bagi melengkapkan komuniti luar bandar dengan kemahiran digital yang semakin penting dalam urusan rasmi dan pentadbiran.

Usia bukan penghalang. Monica tekun belajar menyediakan pelaporan minit mesyuarat semasa sesi khas semalam.
Apa yang lebih menarik, sesi ini berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai peringkat umur – daripada golongan muda berusia awal 20-an sehinggalah kepada warga emas berumur lebih 60 tahun – termasuk mereka yang tidak pernah menggunakan komputer sebelum ini.
Bagi sebahagian besar peserta, pengalaman ini merupakan kali pertama mereka mencuba menaip serta menghasilkan dokumen digital, meskipun ada antara mereka memegang jawatan penting seperti pengerusi dan setiausaha dalam organisasi komuniti.
Monica Bansa, 61 tahun, yang juga Pengerusi KM Nanga Semulong, meluahkan rasa gembira dan bangganya apabila berjaya menaip sendiri buat kali pertama. Beliau turut menyatakan hasrat untuk terus mengikuti sesi pembelajaran ICT anjuran NADI bagi menambah ilmu pengetahuan.

Bita menghargai latihan yang membantu memperbaiki kemahiran dalam penyediaan dokumen rasmi.
“Latihan ini sangat membantu saya dalam memahami proses penyediaan dokumen rasmi, lebih-lebih lagi kerana saya turut memegang jawatan serupa dalam beberapa pertubuhan lain,” ujar Setiausaha KM, Bita Ambau, 45, yang turut menyambut baik inisiatif ini.
Para peserta menyifatkan program sebegini sebagai satu inisiatif yang bermanfaat dan berharap agar ia diteruskan serta diperluaskan kepada lebih banyak komuniti luar bandar demi memperkasakan literasi digital dalam kalangan masyarakat setempat.
-RJ-