Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Sultan Kedah Mahu Pemimpin Utamakan Kesejahteraan Rakyat

By 27 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)/Muhammad Bashsyar Abdullah (JAPEN Kedah)

ALOR SETAR, 21 Apr (MalaysiaAktif) – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menitahkan agar pemimpin-pemimpin di negeri ini mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Selain merencanakan pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat adalah nadi paling penting bagi sebuah kerajaan yang baik dan stabil,” titah baginda.

KDYMM Tuanku Sultan Kedah memeriksa Kawalan Kehormatan dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD).

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kedah (DUN) yang ke-15 di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

“Ahli Yang Berhormat berperanan penting dalam melaksanakan semak dan imbang kerajaan, menggubal dasar dan undang-undang negeri serta mengawal belanjawan negeri.

“Semua Ahli Yang Berhormat perlu faham tanggungjawab ini agar setiap pandangan dan kritikan disuarakan adalah bersifat membina demi kepentingan negeri dan rakyat, bukannya dianggap sebagai kecaman yang mengundang perbalahan,” titah baginda.

Tuanku dalam titahnya turut menzahirkan rasa syukur kerana diberikan kesempatan menyampaikan pesanan dan berkongsi pandangan secara terus bersama semua Ahli DUN yang hadir.

Keberangkatan tiba KDYMM Sultan Kedah di Wisma Darul Aman sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kedah yang ke-15.

Turut berangkat ke majlis tersebut Tuanku Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazudddin Ariff Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam titahnya juga, KDYMM Sultan Kedah turut mengucapkan tahniah kerana Negeri Kedah telah berjaya mencatat kedudukan tempat keempat dalam negara dengan jumlah pelaburan masuk sebanyak RM45.8 billion pada tahun 2024 berbanding RM28.7 billion pada tahun 2023.

-ZS-

Tinggalkan komen anda