
Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Shamsul Bahari Abdul Shukor
PERMATANG PAUH, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Karnival Kita MADANI Pulau Pinang menepati visi Penang 2030 ke arah Negeri Pintar dan Hijau berteraskan Keluarga Inspirasi Negara melalui program-program bersama rakyat yang dianjurkan sejak tahun lalu di pelbagai peringkat negeri, Parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri.

Dr. Mohamad menyampaikan ucapan perasmian Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, dalam ucapannya pada program itu berkata Kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan bagi menyantuni rakyat.
“Dalam membina jambatan keyakinan dalam konteks MADANI, tugas untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum harus digembleng dan menjadi misi bersama” katanya, di sini kelmarin.
Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Pulau Pinang Hasmiza Hussin, berkata karnival berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 3,000 pengunjung melepasi jumlah sasaran.
Menurut Hasmiza, Kita MADANI berkonsepkan Pemimpin Bersama Rakyat bagi menyebarluas inspirasi dan inisiatif kerajaan di bawah satu bumbung supaya rakyat mendapat maklumat terkini yang tepat dan sahih.

Dr. Mohamad Abdul Hamid (tiga dari kanan) turut melawat gerai Jualan Murah MADANI.
“Itu hasrat kita, untuk kumpulkan agensi-agensi di satu tempat bagi memudahkan masyarakat setempat khususnya di negeri Pulau Pinang,” ujar Hasmiza.
Karnival yang berlangsung selama dua hari di Perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah ini disertai 47 agensi kerajaan dan swasta.
Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan antaranya Larian Santai Tradisi Raya, pameran agensi kerajaan dan swasta, Jualan Murah Mega MADANI, sukaneka, pertandingan mewarna serta forum yang memberi manfaat kepada pengunjung.
-ZS-