
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Dungun)
DUNGUN, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Aura semangat patriotisme jelas terpancar di wajah para pelajar apabila lencana Jalur Gemilang mula menjadi sebahagian daripada pakaian seragam mereka.

KPM mewajibkan semua murid di bawah institusi pendidikan KPM untuk memakai lencana Jalur Gemilang.
Arahan terbaharu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewajibkan semua murid di bawah institusi pendidikan KPM untuk memakai lencana Jalur Gemilang mencetuskan rasa bangga dan keterujaan dalam kalangan pelajar.
Tinjauan Malaysia Aktif di Kolej Vokasional Dungun, di sini kelmarin mendapati rata-rata pelajar menyambut baik inisiatif ini sebagai simbol kebanggaan terhadap negara.
“Saya amat berbangga memakai Lencana Jalur Gemilang. Ia membuatkan saya rasa lebih dekat dengan tanah air dan mengingatkan saya tentang pentingnya mencintai negara,” kata Muhammad Afiq Mikhael Mohd Azizul, 16, pelajar jurusan Teknologi Elektrik.

Pelajar Kolej Vokasional Dungun bangga memakai lencana Jalur Gemilang.
Seiring dengan itu, Muhammad Firas Nasri, 16, pula berpendapat bahawa pemakaian lencana ini bukan sekadar hiasan tetapi lambang perpaduan dan semangat kebangsaan.
“Lencana ini memupuk rasa bangga terhadap negara dan menyemai semangat patriotisme dalam diri kami. Ia menjadi simbol kepada semangat juang dan cinta kepada Malaysia,” ujarnya.
Inisiatif ini dilihat mampu memperkukuhkan jati diri pelajar dan menyemarakkan semangat kebangsaan sejak di bangku sekolah lagi.
-ZS-