
Laporan/foto: Marshita Othman (Kerian)
KUALA KURAU 28 Apr (MalaysiaAktif) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan belia dan masyarakat melalui pendedahan kepada teknologi Kecerdasan Buatan (AI) menerusi Program AI 4 Belia dan Masyarakat 2025, yang diadakan bersempena Mini Karnival Sains MADANI, di sini kelmarin.

Pelajar SJKC Yu Chai mengambil peluang mencuba aktiviti yang diadakan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MOSTI, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, berkata program ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan keupayaan belia dalam mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara beretika dan bermanfaat dalam kehidupan seharian, di samping memberi penekanan kepada keterangkuman digital dengan mengutamakan penyertaan masyarakat luar bandar agar manfaat kemajuan teknologi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
“Program ini mencerminkan komitmen MOSTI untuk menyediakan platform pembelajaran inklusif, praktikal dan kolaboratif yang melibatkan pelbagai pihaktermasuk agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, dan komuniti tempatan,” katanya.

Antara pameran yang diadakan bersempena program tersebut.
Tambahnya lagi, inisiatif ini selari dengan elemen Daya Cipta dalam kerangka Malaysia MADANI, dengan membimbing belia dan masyarakat untuk mencipta solusi berasaskan AI yang memberi impak positif kepada komuniti dan pembangunan negara.
Menurut kenyataan itu, Mini Karnival Sains MADANI Kuala Kurau turut menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti interaktif melibatkan agensi-agensi di bawah MOSTI seperti Pusat Sains Negara (PSN), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Jabatan Tenaga Atom (ATOM Malaysia) dan Jabatan Kimia Malaysia (Kimia Malaysia) di samping demonstrasi sains, kuiz, sesi perkongsian danpermainan berasaskan sains dan teknologi.
-ZS-