
Laporan/ Foto: Lim Poh Choo (Sarawak)
Kuching, 29 Apr (MalaysiaAktif) – Acara Pet Walk 2025 yang pertama kali dianjurkan pada Ahad lalu mencatat kejayaan cemerlang apabila berjaya menarik lebih 800 peserta bersama lebih 160 haiwan peliharaan, termasuk anjing, kucing, arnab, kura-kura dan burung.

Dona (empat dari kiri) bergambar bersama pemenang Anugerah Haiwan dan Pemilik Paling Kreatif sempena Pet Walk 2025 kelmarin.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap vaksinasi rabies serta memupuk tanggungjawab dalam penjagaan haiwan peliharaan dalam kalangan komuniti setempat.
Presiden Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA), Dona Drury Wee, dalam ucapan sebelum pelepasan larian sejauh tiga kilometer itu berkata, program berkenaan dianjurkan oleh Pertubuhan Komuniti Progresif Kuching dengan kerjasama SSPCA bersempena sambutan Hari Haiwan Terbiar Sedunia.
“Melalui inisiatif seperti ini, kita dapat meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi haiwan terbiar dan menggalakkan tindakan kolektif untuk memperbaiki kehidupan mereka,” ujarnya.

Natasha Lu (kiri) dan Chong Guan Ping (kanan), bergambar bersama Hugo.
Beliau turut menambah bahawa program ini menyediakan platform untuk mengeratkan hubungan dalam komuniti, sekali gus menyokong usaha kebajikan haiwan secara lebih menyeluruh.
Salah seorang peserta, Natasha Lu, 26, yang bekerja di sebuah kedai haiwan peliharaan di Kuching berkata beliau menyertai acara ini bersama kucing kesayangannya bernama Hugo, baka Maine Coon yang kini berusia setahun enam bulan.

Felincia bersama anjing peliharaannya, Phebe (German Shepherd + Husky), turut serta dalam Pet Walk 2025.
Bagi peserta lain, Felincia Munyan, 20, dari Kota Padawan, acara seperti Pet Walk ini amat penting untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya menyayangi dan melindungi haiwan. “Saya harap program ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Pet Walk 2025 telah berlangsung dengan meriah di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan menjadi platform penting bagi memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat terhadap kesejahteraan haiwan.
-RJ-