
Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin
BACHOK, 29 Apr (MalaysiaAktif) – Bagi mereka yang mendambakan ketenangan jauh dari hiruk-pikuk kota, Kampung Kubang Telaga di sini menawarkan satu pengalaman istimewa iaitu hidup seperti orang kampung, walau hanya untuk beberapa hari.
Kampung Kubang Telaga Bachok, 13 buah inap desa sedia membuka pintu mereka kepada para pelancong yang ingin merasai kembali suasana desa – bangun pagi dengan kicauan burung, merasai hembusan angin sawah dan menyertai pelbagai aktiviti tradisional yang semakin jarang ditemui.

Para pegawai MOTAC diperkenalkan dengan aktiviti tradisional menangkap belut di dalam sawah dengan menggunakan ‘tukil’.
Menurut Pengerusi Homestay Kampung Kubang Telaga Awang Mat Salleh, 72, idea menghidupkan inap desa ini bermula sejak tahun 2006, apabila 40 orang penduduk kampung menjalani kursus asas inap desa yang dianjurkan oleh Institut Kemajuan Desa (INFRA).
“Pada awalnya, lebih 30 buah rumah ditawarkan, namun hanya 20 buah memenuhi kriteria.
“Kini, berikutan usia pemilik yang semakin meningkat, hanya tinggal 13 inap desa yang masih aktif,” katanya semalam.
Walaupun terdapat kekurangan pada fasiliti, Homestay Kampung Kubang Telaga tetap menjanjikan pengalaman penginapan yang selesa dan menarik di mana para tetamu bukan sahaja menginap tetapi boleh melakukan aktiviti seperti memukat dan menjala ikan, mengemudi houseboat menyusuri sungai, menikmati persembahan dikir barat dan seni silat tari.
“Kami berbangga apabila Kampung Kubang Telaga menerima kunjungan istimewa seramai 45 pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dari seluruh negara.

Persembahan dikir barat penduduk kampung bersama para pegawai MOTAC.
“Mereka sendiri berpeluang merasai keaslian suasana desa di Laman Hijauan Padi, menyaksikan persembahan tradisional, demonstrasi masakan kuih berasaskan ubi serta pengalaman unik menangkap belut di sawah padi,” katanya.
Menurutnya, lawatan sebegini dilihat dapat membantu menyerlahkan lagi lokasi inap desa Kampung Kubang Telaga yang berpotensi menjadi tarikan pelancongan berasaskan komuniti dan mampu mengangkat ekonomi tempatan.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Chua Choon Hwa dan Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Masliza Che Omar.
-ZS-