Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Industri Harumanis Berkembang Pesat dengan Keluasan Tanaman Mencecah 1,745 Hektar

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Industri Harumanis sehingga kini melibatkan lebih 2,600 pengusaha dengan keluasan tanaman mencecah 1,745 hektar.

Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menzahirkan perasan gembira apabila terdapat penglibatan ramai pengusaha di dalam industri harumanis di negeri Perlis pada masa kini.

Tuanku Raja Perlis berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang sempena Festival Perlis Permai 2025

“Pencapaian ini bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada rakyat, malah memperkukuh imej Perlis sebagai negeri pertanian yang dinamik,” titah baginda.

Tuanku Raja Perlis menyatakan demikian ketika bertitah di Majlis Perasmian Festival Perlis Permai 2025 di Dataran Setiausaha Kerajaan di Kangar, semalam.

Festival PERMAI adalah penjenamaan semula dan gabungan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) dan Festival Mangga Harumanis Perlis sebagai (Perlis Mango and Agricultural Industry) berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat hingga Ahad.

Pelbagai produk dan hasil para pengusaha dan usahawan tempatan di jual di Festival Perlis Permai 2025

Tujuan festival ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada para peladang, penternak dan nelayan mengenai teknologi terkini di samping menyediakan platform untuk perkongsian ilmu dari ikon yang berpengalaman sebagai usahawan tani serta pakar dalam industri.

Tambah Sirajuddin lagi, usaha berterusan untuk memodenkan dan memperkasa sektor ini memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan, memacu ekonomi, mencipta pekerjaan dan memelihara alam sekitar agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat.

Selain itu, penganjuran festival ini juga adalah untuk mengiktiraf sumbangan para peladang, penternak, dan nelayan kepada sektor pertanian negara serta menghargai jasa mereka dalam memastikan keselamatan makanan negara.

Turut berangkat hadir, Raja Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

-AA-

Tinggalkan komen anda