Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Kaamatan Untuk Semua Cerminan Semangat Perpaduan dan Keterangkuman

By 14 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Tema Sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, Kaamatan Untuk Semua adalah cerminan semangat perpaduan dan keterangkuman.

Peter (paling kanan) bersama Simsudin (tengah) menuai padi sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan peringkat Labuan 2025

 

Menurut Pengerusi Penyelaras Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Daerah Labuan merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat KDCA Hongkod, Peter Pikul tema itu mengajak semua warga tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama menghargai budaya, mensyukuri hasil tuaian, serta menyemai nilai keharmonian dalam kepelbagaian.

“Majlis seperti ini mengangkat nilai kekeluargaan, semangat komuniti dan kerjasama antara kaum dan dalam dunia yang semakin mencabar kita harus terus mempertahankan identiti budaya agar generasi akan datang mengenal akar serta asal usul mereka.

Pertandingan Unduk Ngadau menjadi acara yang ditunggu-tunggu setiap kali penganjuran Pesta Kaamatan

“Saya amat terharu melihat kegigihan komuniti Kadazan Dusun Murut (KDM) di Wilayah Persekutuan Labuan yang terus memartabatkan budaya kita meskipun jauh dari tanah asal, ini membuktikan bahawa budaya bukan sekadar warisan, ia adalah tanggungjawab yang harus dipelihara dan diraikan,”katanya semasa Pesta Kaamatan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2025 di sini semalam.

Beliau turut menyeru kepada para peserta Unduk Ngadau bahawa mereka bukan hanya mewakili kecantikan bangsa, tetapi membawa harapan dan aspirasi seluruh komuniti.

“Berdirilah dengan bangga sebagai pewaris warisan yang luhur dan jadilah suara yang menyatukan, hati yang menyembuh dan minda yang membangun bangsa,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, Pengerusi KDCA Wilayah Persekutuan Labuan, Jerome Mijin dan Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan Wilayah Persekutuan Labuan 2025, Walther Philip Michael.

-AA-

Tinggalkan komen anda