
Laporan /foto: Azrul Azham (Jerantut) /Pejabat Haris Salleh
JERANTUT, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh komitmen dalam usaha memperkasa infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar melalui pelaksanaan projek-projek menaik taraf jalan dan pembinaan jambatan baharu.

Razali menanda kawasan untuk proses menaik taraf jalan raya.
Pengerusi Jawatankuas Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Ir. Razali Kassim, semasa lawatan kerja sehari di beberapa lokasi penting sekitar daerah Jerantut semalam, berkata usaha menaik taraf infrastruktur ini bukan hanya melibatkan aspek pembangunan, malah menyentuh keselamatan serta kelangsungan hidup rakyat.
“Kita tidak mahu rakyat terus berdepan risiko di jalan raya, infrastruktur ini bukan hanya soal pembangunan, tetapi menyentuh aspek keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Bergambar bersama kontraktor Norlan United.
Turut serta dalam lawatan ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan Khaizulnizam Mohd Zuldin, ADUN Jenderak Datuk Rodzuan Zaaba dan ADUN lantikan Haris Salleh Hamzah.
Antara lokasi yang ditinjau termasuk laluan penting bagi penduduk FELDA Jengka 9, 12, 13 dan 24 Jalan FT 1533 dan FT 1534 melibatkan laluan Jengka 12 hingga Kuala Krau dengan cadangan naik taraf bernilai RM50 juta yang dijangka bermula September ini.
-ZS-