
Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)
SEPANG, 16 Mei (MalaysiaAktif) – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sepang dengan Kerjasama Majlis Belia Daerah Sepang telah mengadakan Sambutan Semarak Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Daerah Sepang di Sekolah dan Maahad Tahfiz Kiblah, Jenderam Hulu, di sini semalam.

Klinik sukan bola pikel yang kian mendapat tempat pada masa kini.
Program yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Sepang Khairi Azali Ibrahim hari ini bertujuan memberi peluang kepada golongan belia di peringkat akar umbi untuk merasai kemeriahan Sambutan Hari Belia Negara dan merupakan permulaan di daerah Sepang sekali gus menyemarakkan Sambutan Hari Belia Negara 2025 di peringkat negeri dan kebangsaan.
Hari Belia Negara 2025 yang mengangkat tema ‘Yakin Boleh’ bertujuan untuk memberi semangat kepada para belia dalam menyerlahkan potensi diri selain memupuk semangat perpaduan dan toleransi antara satu sama lain dengan mesej menggerakkan generasi belia MADANI kearah memacu pembangunan negara yang mampan dan berdaya saing.
“Fokus Program Semarak Hari Belia Negara Daerah Sepang pada hari ini (Khamis) ialah aktiviti-aktiviti menjurus kepada pembangunan modal insan yang berteraskan ilmu dan juga kesihatan fizikal dan mental kepada golongan generasi muda hari ini,” ujarnya.

Acara tendangan penalti.
Antara aktiviti menarik sepanjang berlangsungnya program yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 1.00 petang ialah ceramah daripada Akademi Kenegaraan Malaysia, klinik sukan bola pikel, tendangan penalti, pameran agensi kerajaan dan pemeriksaan saringan kesihatan percuma.
“Saya yakin pengisian aktiviti seperti ini diharap dapat menyemarakkan minda dan pengetahuan ilmu anak-anak muda khasnya di daerah Sepang bagi menyediakan platform terbaik dalam melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berakhak mulia, beilmu serta sihat mental dan fizikal,” ujarnya.
HBN disambut setiap tahun pada 15 Mei sebagai pengiktirafan oleh kerajaan terhadap peranan dan sumbangan belia dalam pembangunan negara.
-ZS-